KUALA LUMPUR – Bil bersepadu air dan pembetungan IWK tidak libatkan kenaikan tarif air.
Gabungan bil utiliti itu hanya bertujuan memudahkan pelanggan untuk menjelaskan bil mereka.
Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, bil bersepadu air dan IWK pertama kali dilaksanakan di Wilayah Persekutuan pada tahun 2016 telah menunjukkan kesan positif dengan peningkatan kutipan kepada RM33.82 juta pada tahun 2018.
Katanya, IWK bersama kementerian sedang berusaha untuk memperluaskan pelaksanaan bil bersepadu itu ke negeri-negeri lain menerusi perbincangan dan rundingan bersama operator syarikat pembekal air.
“Setakat ini ada syarikat bekalan air di beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang menunjukkan kecenderungan untuk melaksanakan sistem bil bersepadu itu walaupun ia tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan kerajaan negeri.
“Yang pasti ia hanya melibatkan penggabungan dua bil utiliti air dan pembetungan dan langsung tidak melibatkan kenaikan perkhidmatan tarif bekalan air atau pembetungan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan jawab lisan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman (PH-PKR) yang mahu kerajaan menyatakan kesan penggabungan bil bersepadu kepada rakyat dan kerajaan.
Pada soalan tambahan Mansor, jaminan kerajaan menjaga kepentingan pengguna supaya tidak terbeban dengan cadangan berkaitan tarif air yang dijangka dilaksanakan kerajaan tahun hadapan, Xavier yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, kerajaan sedang melaksanakan program rasionalisasi IWK.
Buat masa ini kerajaan masih menyediakan subsidi RM150 juta setahun kepada syarikat pembetungan itu.
Bagaimanapun katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan telah mengambil beberapa langkah memberhentikan pemberian subsidi bagi membolehkan IWK menjana kewangan sendiri secara berdikari tanpa bergantung kepada kerajaan sepenuhnya.
Beliau juga mengesahkan satu program tandatangan memorandum antara kerajaan negeri dan IWK untuk melaksanakan bil bersepadu pada 20 Disember ini.
Menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed (Pas) sama ada menjangkakan kenaikan tarif air pada tahun depan, Xavier berkata, kerajaan telah lama terlibat dalam perbincangan mekanisme penentuan tarif air di peringkat Parlimen dan juga negeri-negeri melibatkan syarikat air.
“Kalau kita tak rasionalisasikan industri air, akan berlaku beban kepada negeri dan pusat makin bertambah nanti.
“Air adalah keperluan besar dan penting untuk semua dan kita wajib beri tumpuan kepada isu industri air. Program rasionalisasi ini untuk menaikkan tarif air pada masa depan bagi memastikan industri ini selamat dan berjalan baik tanpa masalah dan krisis dalam penyediaan air kepada rakyat.
“Tahun depan kita akan ada sistem musim kemarau lebih teruk dan pasti akan ada masalah air khususnya melibatkan pembekalan air mentah dan kita perlu bersiap sedia dan berani berdepan dan harus mendekati masalah ini.
“Dalam hal ini wujud situasi menang menang untuk pelanggan dan pembekal air demi manfaat semua pihak dan saya akan umumkan dalam masa terdekat nanti mekanisme penentuan tarif air yang sudah lama berjalan,” tegasnya.- MalaysiaGazette