PASIR MAS – Sebaik banjir melanda Kampung Pohon Tanjong di sini sejak empat hari lepas, lokasi itu sudah menjadi tradisi tumpuan pengunjung untuk bersantai dan bermain air dalam keadaan terkawal namun meriah ibarat pesta air.
Penduduk kampung itu, Marzuki Mohd Zain, 62, yang juga seorang pesara kerajaan berkata bukan sahaja penduduk sekitar malah pengunjung dari luar daerah juga datang bersama keluarga bermain air di kampung yang terletak lebih dua meter dari Sungai Golok, Jalan Rantau Panjang Lama itu.
“Suasana ini sangat menarik, sama ada dalam cuaca hujan atau mendung, pengunjung biasanya santai bersama keluarga membawa anak-anak bermain air dengan terkawal dan jaga diri masing-masing.
“Penduduk asal biasanya sibuk berpindah tetapi yang menjadi tarikan hingga berduyun-duyun orang datang apabila air sungai ini melimpah ke kawasan kampung separas satu meter, mereka bawa pelampung, ada pula 10 gerai menjual makanan serta minuman, sudah pasti suasana menjadi meriah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sebagai penduduk asal di situ, Marzuki berkata mereka mempunyai penanda aras dengan menjadikan keluarga dari Weng, Thailand memberikan isyarat bahawa sebaik sahaja berlaku banjir di sana, maka pihak keluarga di Kampung Pohon Tanjong akan menganggarkan empat jam selepas itu, air di kampung berkenaan akan melimpah seterusnya berlaku banjir.
“Kita boleh membuat anggaran, yang mana jika di sana mula banjir, kami keluarga di sini akan bersiap sedia dengan mengangkat barang ke tempat lebih tinggi termasuk membawa kenderaan ke tempat lebih tinggi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Marzuki berkata sudah empat hari banjir melanda kampung itu dan sehingga kini paras air sedikit surut dan petang ini lokasi berkenaan masih menjadi tumpuan ramai.
Menariknya menurut beliau, keadaan banjir tersebut berlaku setiap tahun kecuali tahun lepas dan Kampung Pohon Tanjong dianggap satu lokasi tumpuan pesta air banjir yang mampu menarik lebih 1,000 pengunjung.
Sementara itu, penjual makanan dan minuman Rosidah Ahmad, 45, berkata setiap tahun apabila berlaku banjir di kampung itu yang berdekatan Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini, akan memberi pendapatan lebih kepada kumpulan peniaga.
“Musim banjir ini seiring dengan cuti sekolah hujung tahun, jadi tidak mustahil sekiranya mereka dari luar Kelantan seperti Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Kedah dan Perlis turut sama menghadiri pesta main air.
“Menerusi perniagaan makanan bergoreng seperti keropok lekor, pisang dan ubi keledek serta makanan dibakar termasuk jagung serta sosej, juga minuman sangat laris dijual, kami bukan sahaja mampu menjana ekonomi setempat secara bermusim, malah kewujudan gerai dengan payung berwarna-warni memeriahkan suasana dan menjadi daya penarik,” katanya.- BERNAMA