
KUALA LUMPUR – Pas hari ini mempersoalkan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang didakwa memberi layanan istimewa dan kawalan keselamatan dalam majlis parti politik.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali menegaskan, pihak berkuasa sepatutnya menjaga keselamatan awam dan tidak memberi kelebihan kepada parti.
“Membazirkan duit pembayar cukai. Sepatutnya polis menjaga keselamatan orang awam dan mencegah jenayah. Bukan jaga keselamatan untuk parti politik yang tidak mampu mengawal ketenteraman dan keharmonian ahli sendiri.
“Bagaimana mungkin mereka boleh diharapkan untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 28 November lalu, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan berkata, polis bersiap sedia menentukan keselamatan awam dan kawalan lalu lintas terpelihara sepanjang Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 5 hingga 8 Disember ini.
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka juga memberi jaminan keselamatan ke atas semua tetamu kehormat (VVIP) yang hadir pada kongres terbabit khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagi tujuan itu, IPK Melaka akan melaksanakan Ops Lakar bagi memastikan keselamatan semua tetamu kehormat yang hadir dalam kongres terbabit. – MalaysiaGazette
Polis dah ambil kerja RELA ke? Bukankah pegawai RELA biasa buat kerja macamtu.
Ni polis rakyat bayar gaji ka atau PKR bayar gaji? Ni polis berkhidmat utk rakyat ka atau polis dah jadi sayap parti?? Semua dah tunggang terbalik daaa.. Peguam Negara, Pesuruhjaya SPRM, Ketua Polis semua dah jd alat parti.. cakap tak serupa bikin.. Malaysia baru lah kan..reform kunun! semua lantikan politik.. lagi teruk dari dulu..ufttt