Home Dunia Lelaki buat ribuan aduan telefon ditangkap

Lelaki buat ribuan aduan telefon ditangkap

Akitoshi Okamoto

TOKYO – Seorang lelaki warga emas ditahan di sini kerana membuat 24,000 aduan panggilan kepada pengendali syarikat telefon yang dilangganinya.

Akitoshi Okamoto, 71, didakwa membuat ribuan panggilan telefon kepada tol bebas KDDI dalam tempoh lapan hari dengan mendakwa syarikat berkenaan melanggar kontrak.

Syarikat itu memberitahu, ia bukan kali pertama lelaki berkenaan membuat panggilan tersebut.

Sebaliknya, dia melakukan perkara itu berulang kali sejak dua setengah tahun lalu.

Okamoto menafikan dia telah memalukan firma itu dan memberitahu polis bahawa dia adalah mangsa keadaan.

Media tempatan melaporkan, Okamoto menuduh KDDI melanggar kontraknya kerana telefon miliknya tidak dapat siaran radio.

Polis Metropolitan Tokyo berkata, apabila Okamoto menelefon syarikat itu, dia sama ada akan menghina kakitangan khidmat pelanggan atau menuntut seorang wakil mengunjunginya untuk meminta maaf.

Kadang-kadang, jurucakap menambah, dia akan hanya semata-mata membuat panggilan di talian perkhidmatan pelanggan syarikat tanpa bercakap.

KDDI berkata, ia pada mulanya tidak mahu membuat dakwaan, tetapi panggilan Okamoto begitu kerap dan berterusan sehingga syarikat berkenaan tidak dapat berurusan dengan pelanggan lain.

Okamoto ditangkap kerana melakukan “halangan perniagaan” – tuduhan yang boleh dibawa ke atas warga negara di Jepun yang mengganggu operasi perniagaan secara normal. – MalaysiaGazette