Home Nasional Berapa kali nak hukum untuk satu kesalahan Tajuddin?

Berapa kali nak hukum untuk satu kesalahan Tajuddin?

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pembangkang kesal apa yang berlaku di Dewan Rakyat pada hari terakhir persidangan hari ini apabila usul merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak diluluskan.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,  buat apa lagi ada usul sedemikian sedangkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sudah digantung dua hari oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu berdebat tentang kenyataan Tajuddin yang mempersoalkan abu suci pada dahi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana ia sudah menarik balik dan meminta maaf serta digantung dari dewan.

“Tapi hari ini mereka mahu rujuk pula Pasir Salak (Tajuddin) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bertujuan untuk gantung lagi, kenapa sebegini?

“Di mana adil kalaupun carilah sebab lain tapi ini sebab sama nak hukum dia lagi apa benda, ini salah dalam undang-undang dan perlembagaan kerana tidak boleh dibicara dalam hal sama.

“Tapi hari ini kami nampak speaker dari awal lagi kerajaan mahu menghukum Tajuddin dan dijadikan motif utama mereka,” katanya dalam sidang media selepas Parlimen ditangguh petang tadi.

Kata Ismail Sabri, kerajaan yang lebih cenderung menghukum Tajuddin sedangkan usulnya sebelum itu mahu merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak pula diberi ruang untuk dibentangkan.

Ia jelas dapat melihat kecelaruan dewan rakyat kerana usul beliau bertujuan untuk merujuk Guan Eng kepada jawatankuasa itu kerana tuduhannya bahawa BN merompak RM19.4 bilion dan merupakan pengkhianatan kepada rakyat dalam kenyataan bertarikh 7 Ogos 2018.

Bagaimanapun usul berkenaan yang telah dibawa pada 17 Julai lalu ditolak.

Ekoran itu kata Ismail Sabri sekali lagi membawa usul persendirian hari ini di bawah Peraturan Mesyuarat 43 agar keputusan speaker ditimbangkan semula oleh Majlis Mesyuarat untuk dibahaskan dalam dewan hari ini namun gagal apabila menteri berkaitan, Liew Vui Keong meminta sidang tidak ditangguhkan sehingga usul keenam Menteri Sumber Manusia selesai.

Ia sekaligus menyaksikan usul persendirian yang disenaraikan sebagai isu ketujuh tidak disertakan untuk perbahasan hari ini.

Mengulas mengenai masa terhad dan pembahas seorang setiap parti, Naib Presiden UMNO itu juga menegaskan, tindakan Tombalan Speaker Dewan Rakyat, Ng Kor Ming mengecewakan pihaknya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Usul rujuk Tajuddin ke jawatankuasa Parlimen lulus tanpa bahas

1 Komen

Comments are closed.