KLANG – Penyanyi popular era 80-an, Datuk Nassier Wahab, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah di sini, pukul 11.35 pagi ini.
Sebelum itu, jenazah tiba dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Kg. Batu Belah pukul 8.45 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah rakan-rakan artis antaranya Datuk M Nasir, Datuk Nash, Datuk Seri Shah Reza, Ramlah Ram, Salwa Abdul Rahman, Zarul Umbrella dan Alif Satar.
Nassier atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Abd. Wahab disahkan meninggal dunia di meninggal dunia di PPUM pukul 12.45 tengah malam tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat kanser gusi yang dihidapinya sejak awal tahun ini.
Terdahulu, Nassier telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di PPUM pada 1 Jun lalu.
Ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.
Sejak itu, arwah telah menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di pusat perubatan sama.
Nassier pada April tahun lalu pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.
Isteri, Datin Fatimah Abd Rauf menyiram pusara suaminya yang juga penyanyi, Allahyarham Datuk Nassier Wahab yang meninggal dunia akibat kanser kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Batu Belah, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2019Penghibur kelahiran Teluk Air Tawar, Pulau Pinang itu popular dengan rangkai lagu antaranya Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Luka, Sebuah Janji Tak Bereti, Sekali aku Jatuh Cinta dan Undangan Rindu.
Nassier yang pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) pada tahun 1987 adalah artis seangkatan seperti Shidee, Razis Ismail, Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Arwah yang memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Joseph Chamberlain Collage Birmingham United Kingdom meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd. Raof dan seorang anak, Intan Najihah, 22. – MalaysiaGazette