KUALA LUMPUR- Hala tuju jelas dalam peralihan kuasa serta penganugerahan kontrak kepada syarikat yang berjaya dalam bidaan untuk pembangunan projek infrastruktur dilihat mampu menjadi perangsang pasaran saham tempatan.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun pasaran jatuh hampir tujuh peratus setakat hari ini namun terdapat beberapa sektor yang menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti pembinaan yang merekodkan pertumbuhan dua digit.
Ini jelasnya, menunjukkan pelabur mengharapkan kerajaan akan berbelanja lebih banyak semasa melaksanakan projek-projek infrastruktur antaranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Ini memberi pencerahan mengapa sektor pembinaan mencatatkan prestasi yang lebih baik di Bursa Malaysia dan saya perasan, sektor teknologi juga merekodkan prestasi yang tinggi.
“Jika kita tengok, FBM KLCI mempunyai 30 syarikat dan terdapat sektor-sektor yang merekodkan prestasi yang baik.
“Jika dilihat pada sektor pembinaan, syarikat pembinaan di FBM KLCI adalah syarikat-syarikat yang terlibat dengan pembinaan projek berkaitan kerajaan.
“Jadi, sekiranya kerajaan dapat mengumumkan syarikat manakah yang mendapat kontrak untuk menjayakan projek-projek tersebut, kita boleh melihat hasilnya (perubahan yang lebih baik kepada Bursa Malaysia,” katanya semasa Taklimat Tinjauan Masa Hadapan Ekonomi 2020 di sini hari ini.
Menurut Afzanizam, pelabur masih menunggu hala tuju jelas dalam politik negara kerana pada kebiasaannya perubahan kepada kepimpinan akan memberi kesan kepada dasar-dasar kerajaan.
Tambahan pula, kebanyakan syarikat yang tersenarai papan utama Bursa Malaysia adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC),
Dalam pada itu, beliau tetap menjangka terdapat harapan positif terhadap pasaran kewangan tempatan tahun hadapan yang dipacu terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak dan gas.
Jelasnya, menurut Data Korporat Antarabangsa (IDC), penghantaran telefon pintar global telah meningkat sebanyak 0.8 peratus pada suku ketiga 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu selepas mengalami penguncupan tujuh suku berturut-turut sejak suku keempat 2017.
Prestasi positif itu dipacu terutama oleh Huawei dan Samsung.
Pelaksanaan rangkaian 5G pula dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor semi-konduktor pada masa depan.
“Terdapat harapan positif dalam sektor teknologi dan ini juga mampu menjadi pemangkin kepada sektor E&E.
“Manakala bagi sektor minyak dan gas pula, penggunaan aset, pengumuman Petronas yang mengatakan mereka akan membelanjakan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM50 bilion pada tahun hadapan di samping tidak lagi perlu membayar dividen khas kepada kerajaan dilihat mampu membantu meningkatkan minat pelabur terhadap sektor minyak dan gas,” katanya lagi.
Di samping itu, operasi sepenuhnya Kompleks Pembangunan Penapisan dan Petrokimia Bersepadu (RAPID) di Pengerang, Johor pada tahun depan juga dijangka menjadi faktor penyumbang positif kepada sektor minyak dan gas di Bursa Malaysia.- MalaysiaGazette