KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang terhadap kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Katanya, kerajaan seolah-olah mengenepikan isu kematian anggota bomba itu yang meninggal pada 17 Disember 2018 semasa bertugas pada hari kejadian rusuhan di Kuil Seri Maha Mariamman.
Beliau tidak berpuas hati kerana sehingga kini tidak ada tindakan susulan daripada pihak berkuasa untuk tindakan pendakwaan meskipun Mahkamah Koroner September lalu telah mengumumkan keputusan Allahyarham Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.
“Mana perginya keadilan untuk arwah Adib? Berapa lama lagi kita perlu tunggu untuk mendengar pendakwaan terhadap mereka yang membunuh Adib?
“Mungkin bagi mereka, membawa pulang abu (mendiang) Chin Peng yang mengetuai pengganas komunis, yang membunuh ribuan polis, tentera dan orang awam dalam mempertahankan kemerdekaan dulu, jauh lebih penting daripada keadilan untuk arwah Adib?” soalnya.
Zahida berkata, apa yang berlaku hari ini apabila ‘politik khadam’ berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga mengakibatkan menteri Melayu tidak berani bersuara kepada pemimpin yang menganggap Chin Peng sebagai pejuang negara.
“Kenapa jadi begitu? Kerana apa sahaja kemahuan dan apa sahaja impian pemimpin DAP pasti akan jadi kenyataan?
“Kenapa jadi begitu? Kerana dalam kalangan mereka ramai yang melihat pejuang kemerdekaan, bukanlah Datuk Onn,
bukanlah Tunku Abdul Rahman tetapi orang seperti Chin Peng dan mereka yang bersamanya di dalam hutan belantara 60 tahun dahulu.
“Kenapa jadi begitu? Kerana di sana ramai pemimpin Melayu termasuklah yang menjaga Kementerian Pertahanan memilih untuk berdiam diri dalam isu ini. Ini adalah politik khadam. Khadam tidak akan sama sekali menyanggah tuannya.
“Menjaga hati tuannya yang terdiri daripada orang-orang DAP adalah lebih penting daripada menjaga hati para perajurit yang bermati-matian dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara,” ujarnya.
Zahida turut mempertikaikan pembatalan dua pertuduhan berhubung memiliki item berkaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sepatutnya dihadapi wakil rakyat DAP.
“Kenapa pendakwaan terhadap mereka yang menyembah senapang LTTE ditarik balik? Atas alasan yang sama,
sepatutnya mereka berusaha membebaskan Siti Aisyah yang merengkok dalam penjara kerana hanya memiliki beberapa naskah dokumen tertentu. Mana rule of law mereka,” katanya lagi.
Beliau turut berseloroh dengan bertanya mana Bersih 2.0 ketika ini selepas PH menang kerana sebelum pilihan raya umum yang lalu, badan yang dikatakan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik itu sering memperjuangkan hak keadilan namun kini seolah-olah menyebelahi PH.
“Mana Bersih? Mana Bersih yang dulunya berarak dan melalak di jalanan? Mana Bersih yang dulunya berguling-guling di jalanan? Sekarang ini bayang pun tak nampak. Sudah jadi bisu ke atau dah jadi arwah?” soal Zahida.-MalaysiaGazette