Home Politik Tangani perbezaan dalam parti dengan ruhul ukhwah – Azmin

Tangani perbezaan dalam parti dengan ruhul ukhwah – Azmin

Timbalan Presiden Keadilan merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) bersama Ketua Wanita Keadilan, Haniza Mohd Talha (dua kiri), Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua kanan), Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Dr Daroyah Alwi (kiri) dan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham (kanan) melaungkan Reformasi pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini dilihat ada krisis dengan pemimpin utama PKR malam ini mahu parti yang ditubuhkan dalam platform reformasi itu merungkai perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahlinya.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, sebagai sebuah parti yang penuh rencam dan majmuk, perbezaan pendapat adalah perkara biasa namun itu tidak menghalang untuk pemimpin saling menghormati.

“Kita telah membuktikan setiap perbezaan pandangan yang kita hadapi akan dapat dirungkai dan ditangani atas semangat perpaduan, ruhul ukhuwwah dan mutual respect (saling menghormati).

“Kita juga mesti mempunyai semangat dan berjiwa besar untuk mendengar pandangan akar umbi. Saya yakin, jika kita berpegang teguh kepada idealisme dan prinsip perjuangan yang luhur, apa juga perbezaan, masalah, mahupun krisis akan dapat diselesaikan,” katanya dalam ucapan perasmian sayap Wanita dan AMK PKR, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka malam ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bersetuju hadir merasmikan kongres sayap PKR malam ini selepas satu pertemuan tergempar dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.

Selain Mohamed Azmin, dua Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua juga hadir.

Selain itu, Ketua AMK, ia juga dihadiri oleh Akmal Nasrullah Mohamad Nasir, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha.

Turut hadir wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, di hadapan lebih 500 perwakilan, Mohamed Azmin dberkata parti itu perlu terus memegang status parti paling kukuh dalam gabungan PH pada masa ini.

“PKR perlu terus menjadi Rock of Gibraltar untuk kestabilan dan tahan. Bekerja sama dengan semua rakan kita dalam keadaan gabungan terhebat, kita akan terus berusaha untuk maju dan membentuk perubahan kepada negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

+ posts