Home Pendapat Caj pesakit berbeza, kenapa orang tengah, insurans tidak dipersalahkan?

Caj pesakit berbeza, kenapa orang tengah, insurans tidak dipersalahkan?

AKHIR-akhir ini sekali lagi beberapa kenyataan bertubi-tubi dikeluarkan di dada-dada akhbar yang kononnya para doktor perubatan am swasta sengaja menaikkan kos ubat dan meletakkan caj berbeza antara pesakit tunai dengan pesakit panel insuran.

Segala komen dan arahan kerajaan seolah-olah menuding kesalahan kesemuanya diletakkan atas bahu para doktor perubatan am swasta tanpa menyentuh sedikit pun soal orang tengah.

Doktor-doktor pula diugut dengan hukuman penjara dengan menggunakan kuasa Ukaps atau Ckaps (unit/cawangan amalan perubatan swasta ) KKM untuk mengambil tindakan tegas ke atas para doktor di atas kenaikan caj perubatan tersebut.

Kenyataan ini seolah-olah pekerjaan seorang doktor sekarang sudah menghampiri kepada perbuatan jenayah yang perlu dihukum begitu berat berbanding khidmat dan budi yang telah ditabur oleh para daktor kepada sistem jagaan kesihatan negara kita selama ini.

Saya ingin menarik perhatian pembaca tentang mengapa Klinik Kerajaan 1 Malaysia banyak yang ditutup selepas kerajaan baru memerintah. Ini adalah kerana kos pengurusannya tidak lagi mampu ditanggung oleh kerajaan yang hanya mengenakan bayaran RM1 kepada pesakit dan ia sama sekali tidak berdaya saing.

Sebenarnya inilah juga beban yang ditanggung oleh pengamal perubatan klinik swasta yang terpaksa menanggung kos pengurusan yang tinggi akibat kenaikan harga ubat tetapi perlu kekal tabah menjalani klinik demi kepentingan awam dan rakyat serta kesinambungan berkhidmat sebagai seorang doktor.

Keadaan ini bertambah teruk dengan adanya syarikat-syarikat insurans sebagai orang tengah yang mengenakan caj tambahan kepada para doktor dan membayar servis yang telah diberikan dalam tempoh kadang-kadang melebihi 3 bulan.

Ada juga bayaran yang langsung tidak dipulangkan semula kepada para doktor dan menjadi hutang lapuk yang tidak mungkin lagi dapat dituntut kerana orang tengah tersebut telah hilang pun dari carian.

Apakah kerajaan Malaysia kini tidak menganggap doktor klinik swasta sebagai sebahagian dari rakyat? Mengapakah bahagian farmasi/ubat dan insurans sahaja yang dibiarkan menang manakala segala salah dibebankan ke atas para doktor?

Siapakah di sebalik bahagian farmasi dan insuran ini sehingga kepentingan dan perasaan mereka perlu dijaga begitu rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sekarang?

Para doktor perubatan klinik swasta tidak akan melakukan sebarang mogok seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari pemandu teksi sebelum ini kerana budaya mogok bukanlah budaya atau ciri-ciri profession kedoktoran.

Walau apa pun masalahnya, para doktor tetap tidak tergamak mengadakan sesuatu tindakan yang akan menyusahkan orang ramai terutama sekali para pesakit.

Namun para doktor perubatan swasta yang berjumlah hampir 7,000 diseluruh negara ini mampu melakukan suatu anjakan paradigma keatas suasana politik sekarang dengan mengajak pesakit beramai-ramai memahami situasi yang sedang berlaku.

Ingatlah bahawa para doktor adalah antara orang yang hampir dengan rakyat. Jika para doktor ditindas dan dikesampingkan maka mereka juga berhak membela diri kerana membela diri itu juga adalah suatu kewajiban.

Dr Faridah Hamzah, Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia