Home Nasional Doktor bukan penjenayah sampai perlu dipenjara

Doktor bukan penjenayah sampai perlu dipenjara

Dr. Ahmad Shukri Ismail

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan digesa bertemu dan berbincang dengan pihak berkepentingan sebelum meneruskan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019.

Presiden Pertubuhan Doktor Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, pertemuan itu penting bagi mendapat mendapat maklumat tepat mengenai senario yang berlaku dalam kalangan doktor di negara ini.

Jelas beliau, ini kerana pihak berkepentingan tidak pernah dipanggil untuk memberi pandangan mengenai pindaan akta itu dan bacaan pertama baru-baru ini amat mengejutkan.

“Penangguhan bacaan RUU ini dianggap satu rahmat bagi memberi peluang kepada kementerian bertemu pihak berkepentingan.

“Ini kerana PERDIM mendapati ada cadangan pindaan yang kurang matang dan amat bercanggah dengan bidang kedoktoran yang memiliki tahap profesional.

“Malah ada pindaan yang akan menyebabkan para doktor berhadapan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PERDIM di sini hari ini.

RUU Racun (Pindaan) 2019 itu dijangka dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung Mac depan selepas ditangguhkan bacaannya semalam.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 25 November lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.

Cadangan peruntukan baharu dalam pindaan itu bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan, sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di farmasi luar.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen semalam, Dr Dzulkefly berkata, penangguhan RUU itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam sesi libat urus yang akan dilakukan kelak.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri menegaskan, beberapa cadangan dalam RUU membolehkan doktor didenda dan dipenjara kerana menolak memberi preskripsi atas permintaan pesakit sebagai kesalahan jenayah.

Jelas beliau, ia meletakkan tugas doktor sebagai penjenayah hingga perlu dipenjara hanya kerana menolak memberikan preskripsi yang merupakan satu tindakan melampau.

“PERDIM berpendapat tidak semua permintaan preskripsi perlu dituruti doktor seperti ubat tidur, gugur kandungan dan batuk.

“Jadi kami memohon agar RUU Racun (Pindaan) 2019 ini dibincang bersama persatuan-persatuan perubatan untuk memastikan ia kekal relevan digunapakai demi kepentingan rakyat,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, PERDIM turut bimbang apabila terdapat pindaan yang boleh menjadi pintu belakang kepada pihak tertentu meraih keuntungan.- MalaysiaGazette