KUALA LUMPUR – UMNO mengecam kumpulan liberalis, anti-Melayu dan Islam yang menunjukkan simpati terhadap perjuangan komunis serta sosialis dengan menggunakan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu untuk meruntuhkan apa yang telah dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan rasa kecewanya terhadap kumpulan berkenaan, kerana selama ini kerajaan BN menolak fahaman komunis yang menyebabkan ribuan rakyat menjadi korban, lebih puluhan ribu anggota pasukan keselamatan terbunuh ketika menentang gerila komunis di hutan belantara.
“Mengimbau kembali kekejaman komunis, ada yang dibakar hidup-hidup, ada ibu mengandung yang dirodok perutnya hingga terburai, ada mangsa kepalanya berkecai ditembak dengan kejam.
“Ada juga yang dimasukkan ke dalam guni dan dicampak dalam unggun api, ada yang dikurung dalam rumah sebelum dibakar, ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami, anak menjadi piatu, anggota tentera, polis, pasukan homeguard, malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong turut dibunuh.
“Tanpa memikirkan semua kekejaman komunis, kerajaan hari ini bukan sahaja membiarkan pertemuan mereka yang simpati kepada pengganas komunis, malah abu mayat Chin Peng dibawa pulang dan ketua pengganas itu didewa-dewakan,” katanya.
Beliau berkata demikian menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2019) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kumpulan itu juga mahu menukar sejarah dengan menganggap ideologi komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan tindakan kerajaan itu amat menghiris hati rakyat.
“Dari Cameron Highlands ke Tanjung Piai, mengibar panji Penyatuan Ummah, daripada hidup bercermin bangkai, baik mati berkalang tanah,” katanya berpantun.
Kata beliau, kuasa politik adalah kunci kepada masa depan anak cucu dan orang Melayu sebagai bangsa asal Nusantara.
“Tanpa kuasa politik, UMNO tidak mampu berbuat apa-apa, selain mengikut telunjuk mereka. Muafakat Nasional akan menjadi naratif politik baharu ‘a new political narrative’, bukan hanya gabungan biasa.
“Kita tidak menjanjikan tawaran bulan dan bintang bagi menarik sokongan populis sebagaimana dilakukan PH. Pepatah Arab menyebutkan “Bul ala ZamZam, fatu’raf” ‘Kencinglah di telaga Zam-Zam, pasti kamu akan terkenal’. Itulah yang telah mereka lakukan,” ujarnya.
Beliau menyatakan iltizam UMNO untuk terus memperjuangkan untung nasib rakyat yang bagaikan patah dahan tempat berlindung, patah lantai tempat berpijak.
Ketika ini, katanya, nasib mereka bukan sahaja diabaikan, malah tiada tempat untuk berpaut, maka kepada UMNO mereka menaruh harapan.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyatakan, kerajaan PH ketika ini dilihat sedang menguruskan kitaran ekonomi secara songsang, apabila dalam tempoh sangat singkat telah menjual banyak aset strategik dengan anggaran RM33 bilion.
Walaupun perkembangan ekonomi Malaysia menguncup, tetapi itu bukannya alasan untuk mereka menjual aset strategik negara, apatah lagi aset agensi amanah orang Melayu dan Bumiputera.
Beliau juga turut bersimpati dengan kehidupan golongan B40 dan M40 yang semakin sukar dan terhimpit walaupun cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan GST tidak menurunkan harga barang.
“Rakyat marhaen tidak mendapat faedah daripada SST, yang untung hanya golongan tertentu sahaja, manakala penerima Bantuan Sara Hidup dikurangkan kepada lima juta penerima dengan peruntukan M5 bilion sahaja berbanding 7 juta penerima dengan peruntukan BR1M, yang dahulu dianggap sebagai dedak, sebanyak RM .8 bilion di zaman kerajaan BN.
“UMNO mendengar segala rintihan petani, peneroka Felda dan nelayan, apabila pada Mei 2018, harga satu tan kelapa sawit mentah RM600, tetapi kini hanya sekitar RM280 satu tan.
“Lebih 650,000 isi rumah pekebun kecil sawit dan 112,000 isi rumah peneroka FELDA di seluruh negara menanggung akibat. Begitu juga nelayan, dahulu diberikan elaun sara hidup RM300 sebulan, kini dipotong kepada RM250 sebulan. Malahan ramai lagi yang dinafikan haknya untuk menerima bantuan ini,” ujarnya.
Orang Kelainan Upaya (OKU) turut terkesan, di mana dahulu mereka memperoleh RM350 sebulan, kini dipotong kepada RM300, termasuk guru KAFA mendapat RM1,500 setahun, kini RM1,200 setahun dan imam, bilal serta tok siak dahulu RM1,500, kini RM1,200.
UMNO dan BN mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam kerana memberi kerjasama kepada kerajaan BN sebelum ini.
“Kami faham mengenai masalah mereka dan dilema dihadapi. Ribuan pekerja bertaraf kontrak diberhentikan dan saiz kakitangan awam dikurangkan. Malah kerajaan PH hari ini dilihat seolah “berperang” dengan penjawat awam.
“Beberapa Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dipetisejukkan.
“Ketika ini kita sekadar mampu menghulurkan empati atas nasib yang menimpa mereka. Apabila tiba PRU15 nanti, pilihlah kembali kerajaan yang benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan untung nasib anda sekalian,” katanya. – MalaysiaGazette