KUALA LUMPUR – MCA selesa dengan kerjasama politik di antara parti pembangkang yang dilakukan sekarang tanpa institusi, meskipun beliau menyokong semangat Muafakat Nasional di antara UMNO dan Pas.
Meskipun kerjasama yang dijalinkan tidak berada di bawah satu institusi rasmi namun Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kesemua parti pembangkang mempunyai hubungan baik, saling bantu-membantu dan hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa memainkan isu perkauman dan agama.
“Setakat ini MCA tidak ada masalah dengan corak kerjasama politik sekarang. Kita tidak menyimpang daripada nilai-nilai sejagat. Maknanya dalam kes tertentu tak kira parti apa, kita akan tempuh sama-sama.
“(Kerjasama sekarang) Ia tidak bertentangan dengan rukun negara, tidak bertentangan dengan perlembagaan, kerana apa maksud muafakat membawa berkat. Saya tidak nampak apa yang kita boleh tolak kerjasama (seperti sekarang sahaja).
“Kita boleh bekerjasama. Macam Muafakat Nasional. Semangat Muafakat Nasional di (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai, kita nampak masing-masing tidak sebut isu kaum, agama. Kita mendukung nilai-nilai sejagat tapi kita menang.
“Itu yang dikatakan mendukung satu semangat muafakat nasional. Tak ada masalah,” kata Presiden MCA itu ketika ditemui selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar merasmikan perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata membentuk pakatan bukan suatu perkara yang muda kerana kedudukan UMNO, Pas dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pembangkang.
“Apa sekali pun kita kena realistik. Kita bukan kerajaan. Kita tak boleh kata kita nak bentuk sesuatu pakatan begitu mudah sekali. Sebab itu saya yakin sekarang kerajaan Pakatan Harapan akan buat apa juga supaya ianya tidak berjaya. Kita kena realistik.
“Sebab itu, saya bukannya orang yang suka membuat andaian macam-macam. Kalau kita sekarang bukan kerajaan, kita membuat satu andaian yang bukan-bukan ia tak realistik,” tambahnya.-MalaysiaGazette