Home Nasional Mesyuarat pasca Kabinet hanya jika ada keperluan

Mesyuarat pasca Kabinet hanya jika ada keperluan

Mohamaddin Ketapi
PUTRAJAYA – Mesyuarat pasca Kabinet tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kecuali terdapat keperluan untuk pemakluman kepada pegawai kerajaan untuk dilaksanakan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menepis laporan sebuah portal yang mendakwa beliau tidak pernah mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet, Mohamaddin dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa beliau pernah beberapa kali berbuat demikian.

Menurutnya, laporan bertajuk ‘No post-cabinet meeting in Tourism Ministry for a year after ‘fallout’ pada 6 Dis adalah ‘tidak benar’ dan berunsur fitnah serta dusta.

“Bagi individu yang tidak memahami keperluan mesyuarat pasca Kabinet, mereka ini sentiasa berfikir bahawa mesyuarat itu perlu diadakan selepas mesyuarat Kabinet untuk menzahirkan apa yang telah dibincang di dalam mesyuarat Kabinet.

“Sedangkan ia sebenarnya tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, kecuali terdapat keperluan untuk pemakluman kepada pegawai kerajaan untuk dilaksanakan,” katanya.

Mengenai laporan itu yang turut menuduhnya tidak menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pengurusan kementerian hasil mesyuarat Kabinet, Mohamaddin berkata setiap pelaporan yang berkaitan kementerian akan beliau maklumkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.

“Sekiranya ia adalah pemakluman di peringkat kerahsiaan tertinggi di kementerian, pemakluman hanya diberikan kepada KSU dan TKSU (Timbalan KSU).

“Pelaporan yang berkaitan dengan agensi di bawah kementerian pula, saya juga memaklumkannya secara individu kepada setiap pengurusan tertinggi agensi,” katanya.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.