KUALA LUMPUR – Muhammad Yusoff Rawther memberitahu ahli keluarganya tentang insiden seorang pemimpin politik melakukan perbuatan tidak bermoral terhadapnya.
Bapanya, Muhammed Ali Mohammed Idris berkata, kenyataan yang dibuat oleh datuk saudara Muhammad Yusoff, Mohideen Abdul Kadir, bahawa anaknya itu dimanupulasi oleh sesetengah pihak berhubung dakwaannya itu adalah tidak benar.
“Saya mahu menyata dan menjelaskan bahawa keluarga kami telah dimaklumkan insiden tersebut berlaku samada pada hari tersebut atau dalam waktu yang hampir dengan waktu itu oleh anak saya sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Insiden itu didakwa berlaku pada 23 September 2018.
Pada Khamis lalu, Muhammad Yusoff mengadakan sidang media mendakwa seorang pemimpin politik melakukan perbuatan tidak bermoral terhadapnya.
Beliau membuat dakwaan itu melalui akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 November.
Menurut Muhammed Ali, Mohideen bukannya wakil dan jurucakap kepada pandangan keluarganya.
“Mohideen tidak dalam sebarang cara terlibat dengan kehidupan Yusoff dan dengan itu tidak menyedari apa yang telah berlaku dan apa yang sedang berlaku.
“Oleh itu beliau tidak mempunyai kuasa untuk melakukan sebarang kenyataan berhubung anak saya,” ujarnya.
Menurut Muhammed Ali, beliau sangat kecewa dengan tindakan Mohideen yang memilih untuk tidak berkomunikasi dengan pihaknya atau mendapatkan pengesahan daripada beliau atau keluarga saya tentang apa yang sebenarnya berlaku sebelum mengeluarkan kenyataan berbau fitnah terhadap anak lelakinya itu.
“Saya berharap dia akan berfikir, berfikir lagi dan kumpulkan kebenaran dan fakta sebelum membuat kenyataan kepada umum,” jelas beliau.
Muhammed Ali berkata, sebagai ketua keluarga beliau tidak mahu mengulas dan membuat kenyataan tentang perkara itu dan ebarang maklumat akan dilakukan menerusi saluran yang sesuai atau di mahkamah. – MalaysiaGazette
Datuk saudara percaya Yusoff Rawther dimanipulasi pihak tertentu