AYER KEROH – Individu nombor dua dalam PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu tidak perlu kepada mana-mana kem yang menyokong individu tertentu.
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, ia selaras dengan pertemuan yang dibuat pada minggu lalu sebelum Mesyuarat Biro Politik partiĀ di Parlimen pada Rabu lalu.
“Kita tidak boleh benarkan (wujud kem-kem ini), sebab itu saya ambil inisiatif untuk mengumpulkan Majlis Pimpinan Pusat yang dilantik untuk bertemu dengan Anwar, berikan surat kepada beliau dan minta nasihat untuk duduk dan bincang.
“Kita duduk berbincang. Kita adakan pertemuan minggu lepas dan kita harap pertemuan itu akan selesaikan beberapa isu fundamental dalam parti.
“Kami bercakap mengenai keadilan…keadilan bermula dari dalam. Ia perlu dilaksanakan dalam parti sebelum kita boleh mempromosikan prinsip keadilan,” katanya kepada media selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Azmin berkata demikan merujuk kepada kenyataan Anwar bahawa dirinya tidak mengiktiraf sebarang kem mahupun kumpulan yang ada dalam parti pimpinannya itu.
Anwar dalam sidang medianya hari ini berkata, beliau tidak ada masalah jika wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan parti itu namun harus dilihat bersatu di mata akar umbi.
Tambah Azmin lagi, beliau harap semua keputusan parti mesti mematuhi perlembagaan parti yang telah diguna pakai sejak 20 tahun lalu.
“Saya harap mesyuarat yang dimulakan oleh saya dan MPP di bawah saya untuk mendapatkan bimbingan presiden bagi memastikan semua keputusan mestilah sesuai dengan perlembagaan parti dan juga prosedur yang telah kami terima selama 20 tahun yang lalu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette