KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan terkenal di ibu negara yang disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan pelayan pelanggan (GRO) wanita, ditumpaskan dengan tertangkapnya 23 wanita asing bersama tiga lelaki.
Kumpulan itu diberkas dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen terdiri daripada 12 orang pegawai penguatkuasa Imigresen dari Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa bermula jam 10 malam pada 4 Disember lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 55 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 28 orang telah ditahan.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 16 orang wanita warga negara Thailand, enam wanita warga negara Vietnam dan seorang wanita warga negara Laos, selain turut dicekup dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki Thailand.
“Kesemua mereka disyaki bekerja sebagai penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) dan juga pekerja premis itu sendiri manakala hasil siasatan mendapati mereka memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Hasil serbuan mendapati premis tersebut dikawal ketat oleh ‘tonto’ dan penjaga premis yang akan membawa lari wanita-wanita GRO menggunakan kenderaan khas yang tersedia di luar premis jika tempat itu diserbu.
“Antara aktiviti di premis berkenaan ialah ‘kalungan bunga’ dan persembahan ‘cat walk’ di atas pentas.
“Bayaran bagi kalungan bunga bermula dari RM100.00 hingga RM500.00 dan mahkota dari harga RM500.00 hingga RM1000.00 yang dibayar oleh pelanggan sebagai ‘tips’ kepada wanita-wanita berkenaan sekaligus ia dijadikan sebagai satu persembahan istimewa dan daya tarikan pelanggan ke premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
H
Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita-wanita GRO berkenaan sehingga hampir dilanggar kenderaan dan ada yang terluka di tangan dan kaki.
“Beberapa penjaga premis (bouncer) juga cuba menghalang pegawai imigresen daripada menahan wanita-wanita ini sehingga berlaku pergelutan namun berjaya ditangani.
Malah, mereka juga ditahan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegasnya.-MalaysiaGazette