SHAH ALAM – Mana-mana pertubuhan yang menggunakan nama Islam hingga boleh mencemarkan kesucian agama persekutuan Malaysia itu perlu disemak semula atau terus dibatalkan pendaftarannya serta-merta.
Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir menegaskan, Pas dan UMNO antara pertubuhan yang dilihat kerap memainkan isu perkauman dan agama hingga memberi persepsi negatif kepada Islam.
“Kita tahu Pas dan UMNO semakin galak memainkan isu perkauman yang ada, saya rasa sangat kritikal, kami Pulau Pinang merasakan isu ini sangat kritikal yang mencabar kestabilan negara kita.
“Saya mencadangkan semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam harus disemak atau batalkan pendaftaranya kerana ia memberi satu imej tidak baik kepada Islam yang suci dan mulia itu,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden Amanah pada Konvensyen Nasional 2019 Amanah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Saifullah juga mempersoalkan tindakan TV3 yang memberi liputan Perhimpunan Agung UMNO 2019 secara siaran langsung sedangkan mereka kini hanyalah parti pembangkang.
“Sekarang ini ruang terbuka kepada parti pembangkang. Hari ini PH memerintah tapi siaran lansung Persidangan Agung UMNO ditayangkan di TV3, ditayang di media-media, jadi berita utama, tetapi di mana siaran langsung konvensyen kita hari ini.
“Saya fikir apa sahaja ruang yang ada kepada kita sebagai kerajaan, kita harus bertindak sebagai kerajaan. Kita harus menggunakan kuasa yang ada kepada kita, bukanlah menyalah guna, tapi menggunakan kuasa itu,” katanya.
Katanya, kerajaan PH juga tidak boleh berdiam diri terhadap penjawat awam yang terlibat dengan gerakan daulah terpendam yang mencabar kerajaan hari ini.
“Ada sekumpulan mereka mencabar kerajaan, tindakan sebegini tidak harus kita biarkan lagi, kita harus bijaksana menghadapi mereka ini.
“Jika perlu, tukarkan mereka, masukkan dalam peti ais jika tidak mahu taat kepada kerajaan pemerintah hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette