Home Seni Hidup Mengapa mahu beraksi di lensa, sebelum ilmu tersemat di dada?

Mengapa mahu beraksi di lensa, sebelum ilmu tersemat di dada?

Lensa MG foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2019

KUALA LUMPUR- Mahasiswa Pengajian Islam dinasihatkan untuk menjauhi dunia glamor sebelum menghabiskan pengajian malah mereka tidak seharusnya bercita-cita untuk menjadi agamawan selebriti.

Menurut seorang pendakwah bebas Ustaz Hasrizal Jamil, apabila menjadi selebriti, pendapat seseorang itu dinilai berdasarkan populariti dan bukannya kerana hujah dan ilmu.

Maka beliau menasihatkan semua pelajar Pengajian Islam untuk mengkuhkan ilmu dan pengalaman masing-masing sebelum mengambil risiko menceburi dunia glamor yang penuh kontroversi.

Katanya, pengetahuan ialah apa yang dipelajari, didalami serta yang difahami dan bukan apa yang sekadar didengar mahupun meminjam apa yang dikata oleh orang lain malah berlepas tangan jika perkara tersebut salah.

“Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:

من تكلم في الدين بلا علم كان كاذبًا، وإن كان لا يتعمد الكذب

‘Barangsiapa yang berbicara tentang hal-ehwal agama tanpa ilmu maka dia dikira berdusta sekali pun dia tidak berniat untuk berdusta.’

“Dek kerana bahayanya perbuatan memetik buah sebelum ranum, rancangan-rancangan realiti keagamaan itu berbahaya.

“Jika dalam dunia masakan, Chef Wan risaukan chef segera melalui rancangan realiti masakan, kita pula risaukan ulama segera yang dihasilkan oleh rancangan realiti di kaca televisyen.

“Mendengar ceramah-ceramah alumni program realiti televisyen yang banyak itu, sungguh dukacita hati saya dibuatnya.

“Demikianlah akibat mensesiakan usia muda yang sepatutnya diisi dengan belajar, bukan mengajar, biar pun berdakwah masih fardhu ain dalam rutin seharian masing-masing.

“Al-Imam al-Shāfi’ī rahimahullāh berpesan, seperti yang ternukil di dalam Fath al-Bārī, syarah kepada Sahih al-Bukhārī:

إِذَا تَصَدَّرَ الْحَدَث فَاتَهُ عِلْم كَثِير

“Apabila seseorang yang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu menjadi tokoh), maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak”

“Mengapa tergesa-gesa beraksi di lensa, sebelum ilmu secara amanah disemat di dada?

“Lidah tidak bercabang, lancar berkata-kata, tidak selancar mata membaca dan akal memikirkannya.

“Jika televisyen mensyaratkan ada asas agama, maka asas itulah racunnya, kerana pada usia yang begitu muda, kalian sudah sibuk ke sana sini mengajar (kalau boleh dikatakan mengajar), bila masanya yang asas itu hendak ditambah, diperbaiki dan ditingkatkan?

“Jika zaman belajar tidak rancak belajar, mustahil zaman mengajar boleh rancak mengajar. Kecuali ada penyakit yang direstui penyebarannya.

“Dek besarnya bebanan berkata-kata di pentas ceramah, apatah lagi di depan lensa, saya sendiri lebih tenang menulis berbanding berceramah. Sebelum menulis, saya kena membaca dan punya ruang berfikir sebelum menyebarkannya.

“Ceramah, mudah benar kemalangan ilmu berlaku,” katanya dalam satu hantaran di laman blognya saifulislam.com

Tambah penulis buku Di Hamparan Shamrock itu lagi, agamawan muda ini seharusnya merebut kelebihan menjadi insan bertakwa yang tidak dikenali kerana trend, tular dan populariti katanya, adalah satu ujian berat.

“Mengapa engkau dengan sengaja menempa susah? Apatah lagi kesusahannya adalah beban yang jauh dari berbaloi,” katanya lagi.

Baru-baru ini isu mengenai sikap sesetengah agamawan muda terutamanya yang lahir daripada program-program pencarian bakat di televisyen kembali hangat apabila Da’i Farhan bertindak menceraikan isterinya dan berkahwin dengan seorang janda anak lapan di Mekah.

Ini menyebabkan masyarakat mempersoalkan tindakan dan akhlak segelintir “ustaz-ustaz segera” ini yang dikatakan tidak selari dengan ajaran agama Islam itu sendiri.

Malah satu petisyen supaya gelatran Da’i, Pencetus Umah (PU), Imam Muda dan Ustaz untuk penunggang agama ditarik dan dipanggil dengan gelaran encik sahaja telah dilancarkan di Change.org.- MalaysiaGazette