Home Utama Pemimpin UMNO jangan jadi pondan

Pemimpin UMNO jangan jadi pondan

Wakil pembahas Pergerakan Pemuda, Johari Yazid berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Para perwakilan UMNO yang berbahas pada Perhimpunan Agung parti ini hari ini menggunakan peluang untuk menyatakan pendirian mereka berhubung usaha menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.

Wakil Pergerakan Pemuda, Johari Yazid menegur pimpinan parti itu agar tidak bersekongkol dengan parti lawan hanya kerana rasa goyah terhadap kedudukan UMNO sebagai pembangkang.

Sebaliknya, tegas beliau, pemimpin-pemimpin atasan perlu bersama-sama akar umbi yang bertungkus lumus mempertahankan part.

“Kepimpinan parti menyatakan dengan jelas tidak akan ada kerajaan melalui pintu belakang, keputusan perlu menerusi end block, keputusan perlu mengikut konsensus parti.

“Oleh itu Pemuda berharap janganlah ada lagi individu parti cuba menjadi hero buat spekulasi untuk menjadi kerajaan melalui rundingan pintu belakang.

“Kalau kami Pemuda sedia berjuang di saat kita kalah kenapa di atas risau sangat? Biar kita bertarung sebagai anak jantan di tengah gelanggang berbanding jadi pondan main belakang,” katanya membahas ucapan Dasar Presiden.

Ujar Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras itu lagi, pemimpin sepatutnya berusaha memenangi hati rakyat dengan cara demokrasi dan tawaran-tawaran yang menarik tetapi bukan dengan cara sebaliknya.

Beliau turut menggesa kepimpinan UMNO tidak bermain dengan politik yang membosankan dan akhirnya membibitkan rasa kebencian.

“Jujur, jujurnya rakyat mahukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat kita harus terus mempertahankan agenda rakyat. Kita teruskan gerak kerja memenangi hati rakyat, cadang manifesto yang beri kemenangan kepada rakyat. Pemuda yakin kita mampu.

“Tolong, Pemuda merayu jangan biarkan rakyat meluat dengan politik negara takut nanti kecundang lagi kita,” ujarnya lagi.

Wakil pembahas Negeri Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2019.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar menggesa agar Ahli Parlimen UMNO mendakwa DAP sedang berusaha menambah pengundinya dengan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing.

Perwakilan dari Pulau Pinang itu berkata, 95 peratus warga dari China dan India yang masuk dalam negara sehingga kini tidak pulang ke negara mereka atas strategi DAP yang mahu berkuasa dengan menambah pengundi parti itu.

“95 peratus orang dari China dan India masuk tapi tidak keluar. Ada yang dapat IC (kad pengenalan) biru. Jangan anggap benda ini tidak serius, kalau kita kita bangkit isu IC lepas itu kita diam.

“Ahli Parlimen saya minta bangkitkan perkara ini (dalam Dewan Rakyat) jangan lepas bangkit DAP bagi hujah (lari topik), kita lupa.

“Kalau strategi DAP jauh lebih baik dari kita. Sekarang apa yang dia perlu adalah numbers (jumlah pengundi mereka). Dulu Najib (Datuk Seri Najib Razak) selalu cakap ‘politic is a game of numbers’.

“Kita tahu kalau DAP tidak dapat tambah pengundi, sampai bila-bila tidak boleh perintah Malaysia, jadi mungkin dia akan dapatkan pengundi hantu daripada negara lain, tolong semak,” katanya.  -MalaysiaGazette