KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendedahkan baginda sebenarnya sudah biasa menggunakan KLIA Ekspres untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tunku Azizah dalam komen balas di Twitter memberitahu, perjalanan baginda lebih cepatĀ jika menaiki KLIA Ekspres.
Oleh kerana rindu lama tidak menaiki KLIA Ekspres sejak bergelar Raja Permaisuri Agong, baginda membuat keputusan untuk menaiki tren ke KLIA.
“Sebenarnya saya memang selalu naik ERL ke KLIA 1 n 2…. cepat sampai.. sejak jadi RPA (Raja Permaisuri Agong) saya selalu berkereta ke KLIA…rindu pulak.. jadi saya beritahu istana saya nak naik ERL, seperti saya selalu buat sebelum ini!!!,” demikian ciapan Tunku Azizah.
Semalam, Tunku Azizah berkongsi gambarnya yang menaiki KLIA Ekspres dari KL Sentral ke KLIA.
Mengikut catatan Instagram rasmi Istana Negara (istana_negara), Tunku Azizah dijadual berangkat ke India bagi menerima persembahan Anugerah Kraf Antarabangsa yang berlangsung di New Delhi hari ini.
Laman Instagram Istana Negara itu turut memuatnaik foto Tuanku Azizah yang kelihatan ceria ketika berada di dalam tren tersebut.
Ada pengguna Instagram dan Twitter berkongsi reaksinya dengan menyatakan rasanya ini kali pertama seorang yang bergelar Raja Permaisuri Agong menaiki KLIA Ekspres.
Status jawapan baginda telah disukai lebih 7,000 pengikut Twitter rasmi Tuanku sehingga ada yang menyatakan kerinduan mereka dan mahu Tuanku berangkat pulang segera ke Malaysia selepas program di Delhi.
Seorang pengikut Twitter Tuanku bernama nassar13890 pula meluahkan hasratnya mahu baginda menziarahnya di Max Hospital Saket, Delhi jika ada kelapangan.
Netizen itu memberitahu dia berada di sana kerana baru sahaja menjalani pembedahan pemindahan hati untuk didermakan kepada anaknya yang berusia 8 bulan.-MalaysiaGazette