
KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka bergerak dengan kedudukan berhati-hati minggu depan, dengan jajaran kecil antara 4.1470 dan 4.1800 sementara pelabur menantikan keputusan daripada tamatnya tempoh tarif antara Amerika Syarikat (US) dan China.
Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, pelabur tetap sensitif terhadap berita utama berkaitan perjanjian dagangan US-China, dan kini menghitung tarikh akhir yang ditetapkan oleh Presiden Donald Trump pada 15 Dis ini, bagi penetapan tarif ke atas barangan China.
“Lebih banyak petunjuk mengenai kesepakatan perdagangan ‘fasa pertama’, boleh ditafsirkan sebagai keuntungan selanjutnya bagi mata wang Asia. Namun, jika pelabur mendapati lebih banyak tarif perdagangan akan dikenakan, ini akan menjejaskan minat untuk mengambil risiko,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, kalendar ekonomi Malaysia agak ringan pada minggu depan, dengan angka pengeluaran perindustrian Oktober dijangkakan kekal dalam wilayah pengembangan – peningkatan yang tidak terganggu sejak Februari 2013 – walaupun kedudukan iklim makroekonomi semasa yang sukar.
“Walaupun data tempatan yang kukuh, yang menunjukkan perkembangan yang stabil, faktor luar masih kekal sebagai faktor utama dalam prestasi ringgit,” katanya.
Selain daripada perbincangan perdagangan US-China, pasaran juga akan bertindak balas terhadap pilihan raya UK pada 12 Dis.
“”Berdasarkan kedudukan ini, di tengah-tengah ketidaktentuan global, Rizab Persekutuan US dan bank pusat Eropah dijangka mengekalkan dasar sedia ada masing-masing pada mesyuarat akhir yang dijadualkan tahun ini,” katanya.
Sepanjang minggu, ringgit banyak dipengaruh oleh kenaikan harga minyak serta perbincangan berterusan dagangan US-China.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar US kepada 4.1580/1610 daripada 4.1750/1780 minggu lepas.
Bagaimanapun, prestasi ringgit lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0571/0605 daripada 3.0550/0579 sebelum ini dan menyusut nilai berbanding dengan yen kepada 3.8284/8315 daripada 3.8100/8138.
Mata wang tempatan juga merosot berbanding euro kepada 4.6137/6179 daripada 4.5938/5987 dan rendah berbanding pound kepada 5.4570/4613 daripada 5.3807/3859. – MalaysiaGazette