AYER KEROH – ‘Ya saya akan hadir dalam majlis makan malam di Hotel Renaissance’, demikian menurut, Zuraida Kamaruddin hari ini.
Naib Presiden PKR itu berkata, majlis tersebut adalah anjuran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Jemputan kata ini adalah kongres kedua selepas di Melaka? Tidak, ini cuma makan malam. Ia adalah makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sahaja,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Dalam jemputan yang ditemui media, tertera nama dua lagi Naib Presiden iaitu Ali Biju dan Tian Chua yang dipercayai akan hadir.
Turut dikatakan akan hadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa, Ketua Wanita, Haniza Talha serta Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham.
Sejak minggu lalu, media dimomokkan dengan pertemuan berasingan itu akan diadakan di Hotel Renaissance – tempat lahirnya Parti Keadilan Nasional 20 tahun lalu.
Perkara itu disahkan Naib Ketua Pemuda PKR Nazree Yunus.
Nazree mendakwa cuma 2,000 perwakilan daripada 600,000 anggota parti yang akan hadir Kongres Nasional PKR di Melaka.
Dalam pada itu, difahamkan majlis yang berlangsung esok adalah majlis makan malam apresiasi perwakilan Kongres Keadilan 2018.
Mengikut atur cara jadual, majlis itu bermula pada jam 6.30 petang dengan kehadiran tetamu dan bersurai pada pukul 10 malam. – MalaysiaGazette