SHAH ALAM – Cadangan pengambilalihan Felda Global Venture Holding Berhad (FGV) daripada pihak ketiga masih di peringkat perbincangan, baik dalam Pakatan Harapan (PH) mahupun Kabinet.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, sekiranya perkara itu mahu dilaksanakan, pihaknya akan memastikan kegagalan Barisan Nasional (BN) mentadbir urus anak syarikat Felda itu tidak berulang.
“Itu di peringkat perbincangan dan sekarang disuarakan dan kita akan bincang di peringkat PH dan Kabinet dalam hal ini supaya ia tak berulang apa yang berlaku kepada FGV.
“Bentuk-bentuk yang disebut tadi (Datuk Mazlan Aliman) belum konkrit lagi, hanyalah di peringkat cadangan sahaja, tiada lagi bukti dan fakta konkrit katanya orang tertentu nak ambil alih FGV, hanya di peringkat khabar angin saja,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Nasional Amanah 2019 di sini, hari ini,
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Datuk Mazlan Aliman mendedahkan wujudnya gerakan dalaman dan usaha pihak ketiga iaitu Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary untuk mengambil alih kepentingan dalam FGV.
Menurut Mazlan, sekiranya pengambilalihan itu berlaku, Kerajaan PH akan dianggap sebagai pengkhianat rakyat yang telah memilih dan memenangkan merekan pada PRU14 lalu.
Ditanya tentang pendedahan Mazlan bahawa satu perjumpaan antara pihak ketiga terbabit dengan lembaga pengarah Felda dijadualkan esok, beliau bagaimanapun tiada maklumat mengenainya.
“Setakat ini saya belum ada maklumat tentang hal itu (mesyuarat lembaga pengarah Felda)
“Lihat dulu perjanjian, rujukan dan sebagainya. Sebab kita tak tahu apa yang nak diambil alih dan bagaimana, saya tak boleh komen hal ini sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette