Home Nasional Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini – bomba

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini – bomba

KUALA TERENGGANU – Nelayan yang hilang setelah bot dinaikinya karam di Kuala Dungun pagi semalam ditemukan lemas lima kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada pukul 10.20 pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata, mayat mangsa ditemui Polis Marin dan dihantar ke Hospital Dungun untuk urusan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 6.45 pagi tadi dengan penglibatan 60 anggota penyelamat dari pelbagai agensi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya, mahu turun ke laut menangkap ikan namun terpaksa berpatah balik apabila bot mereka dihempas ombak dan karam.

Bagaimanapun, dua rakannya Mohd Fadhil Jusoh, 39, dan Mohamad Ekhsan Kamaruddin, 32, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang sendiri ke pantai sambil berpaut dengan tong minyak, manakala mangsa terus hilang.

Sementara itu, isteri mangsa, Noor Azura Abdul Aziz, 38, berkata, beliau reda dengan pemergian suaminya itu dan lega kerana akhirnya mayat berjaya ditemui.

“Dari semalam tertanya-tanya tentang nasib sebenar suami, berharap-harap dia selamat tapi bila dah jumpa ni, saya reda dengan ketentuanNya.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus mencari suami saya sejak pagi semalam,” katanya yang mempunyai tiga anak iaitu Siti Nor Fazlieyanie, 14, Siti Nor Fazlieyana, 4, dan Afazliey, 2. – Bernama