Home Nasional Tujuh individu ditahan terlibat parti liar di Brickfields

Tujuh individu ditahan terlibat parti liar di Brickfields

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Tujuh individu ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi, Brickfields, di sini, semalam.

Mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 45 tahun itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta dua wanita warga asing.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, operasi ini merupakan hasil maklumat orang awam sebelum menyerbu kondominium berkenaan pada kira-kira 1.52 petang itu.

Beliau berkata, dalam operasi ini, pihaknya merampas beberapa jenis dadah disyaki syabu seberat 10.3 gram, ketamin seberat 4.1 gram dan ganja seberat 2.2 gram.

“Kesemua yang ditahan didapati positif selepas menjalani ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan pada tengah malam tadi.

Zairulnizam berkata, hasil siasatan mendapati tiga daripada mereka berkongsi duit untuk membayar sewa kondominium itu selama sehari RM350 yang ditempah melalui panggilan telefon manakala pembayaran dibuat menggunakan transaksi perbankan dalam talian.

“Kesemua individu terlibat ditahan di lokap Jinjang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis menasihatkan agar orang ramai tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melibatkan dadah terutamanya parti liar kerana tindakan tegas boleh diambil kepada sesiapa sahaja yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ia boleh disalurkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297922. – Bernama