Home Dunia Bapa mangsa rogol mahu suspek ditembak mati, sama seperti kes Hyderabad

Bapa mangsa rogol mahu suspek ditembak mati, sama seperti kes Hyderabad

NEW DELHI – Sehari selepas mangsa rogol berusia 23 tahun meninggal dunia di hospital akibat dibakar oleh beberapa lelaki yang disyaki merogolnya di Unnao, Uttar Pradesh, bapa mangsa mahu mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut menerima nasib yang sama dengan perogol yang ditembak mati di Hyderabad baru baru ini.

Wanita itu dengan 90 peratus tubuhnya melecur mati di Hospital Safdarjung pada pukul 11.40 malam Sabtu lalu, hari yang sama polis menembak mati empat lelaki yang disyaki merogol seorang doktor haiwan di Hyderabad.

“Saya kehilangan anak perempuan. Lelaki yang di belakang kematiannya mesti ditembak. Saya tidak mahu wang atau sebarang bantuan. Saya mahu meelihat suspek dikejar dan ditembak mati sama seperti penemuan Hyderabad atau digantung hingga mati,” kata bapa mangsa dalam kenyataan yang senada dengan ahli keluarga lain.

“Saya tidak mahu lima lelaki ini hidup,” kata adik mangsa. “Saya mahu nama mereka dipadamkan,”.

Bagi mendapatkan keadilan untuk kakaknya, lelaki itu menambah, suspek perlu pergi ke tempat ‘di mana kakaknya telah pergi’.

“Saya meminta Ketua Menteri, Yogi Adityanath, memastikan ia berlaku,” katanya.

“Dia (mangsa rogol) telah meminta saya menyelamatkannya. Saya sangat sedih saya tidak dapat menyelamatkannya,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai kematian suspek yang ditembak polis, bapa mangsa rogol seorang doktor haiwan di Hyderabad mengalu-alukannya dan mengakui tidak menyangka keadilan ditegakkan dengan pantas.

Menurut polis, suspek, Mohammad Areef, Jollu Shiva, Jollu Naveen, dan Chintakunta Chennakeshavulu yang terlibat menjelaskan jenayah yang mereka lakukan itu cuba melepaskan diri namun ditembak pegawai polis.

“Akhirnya, keadilan ditegakkan berikutan kematian anak perempuan saya. Ini akan membolehkan rohnya bersemadi dengan aman,” katanya kepada pemberita di kediaman beliau sebaik sahaja berita mengenai insiden itu berlaku.

“Kami diberi jaminan bahawa perbicaaan akan diselesaikan dengan seberapa segera dan suspek akan dikenakan hukuman berat. Tiada komunikasi samada daripada polis atau kerajaan pada pagi hari kejadian,” katanya.

Adik perempuan kepada doktor haiwan itu yang dikenali Disha berkata, beliau berharap kematian suspek akan menghalang jenayah ke atas wanita. – Agensi

Mangsa rogol dibakar dalam keadaan kritikal

+ posts