PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata beliau tidak tahu sama ada topik yang dikupas dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) anjuran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan dengan agenda membangunkan rakyat.
Katanya, beliau juga tidak tahu sama ada ketua setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi atau pengarah bahagian berkenaan ada memberi kupasan topik tersebut dalam majlis itu.
Sebaliknya, Saifuddin berkata, apa yang dibacanya menerusi media majlis itu berkisar kepada ucapan pemimpin parti dan penjelasan kemakmuran bersama itu adalah ekonomi Malaysia lebih maju kalau Anwar terus diserang.
“Saya pun baru tahu semalam tentang perjumpaan Wawasan Kemakmuran Bersama jadi kita bersangka baik barangkali itu merupakan penerangan merapatkan jurang ekonomi penduduk bandar dengan luar bandar.
“Saya pun tidak tahu sama tajuk itu dikupas boleh jadi oleh Ketua Setiausaha Kementerian, pengarah bahagian berkenaan saya pun tidak tahu.
“Tapi apa yang saya baca ucapan pemimpin parti dan penjelasan kemakmuran bersama itu adalah ekonomi Malaysia lebih maju kalau Anwar terus diserang. Itu yang saya faham.
“Ekonomi Malaysia akan pulih luar biasa lonjakan saujana hanya dengan mengganyang Anwar Ibrahim. Itu mesej saya tolong tulis jadikan itu tajuk utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, adalah kurang manis menggunakan platform lain untuk menjawab dan memberi penjelasan tentang apa yang telah disuarakan oleh perwakilan baru-baru ini khususnya berkisar tentang pengkhianat.
Katanya, Kongres Nasional PKR hanya satu iaitu di Melaka dan beliau berpandangan adalah lebih molek jika sebarang penjelasan atau jawapan disampaikan menerusi platform tersebut iaitu pada sesi penggulungan yang turut dihadiri oleh para perwakilan.
“Tindakan yang kurang manis adalah tidak hadir semasa penggulungan tetapi membuka platform yang lain untuk menjawab, jadi tidak sampai,” katanya lagi.
BACA:Kita ada 1,001 sejarah, kenapa pilih Si Kitol? Soal Azmin
Saifuddin membidas lagi mengatakan bahawa mengawal perbahasan perwakilan parti dalam Kongres PKR bukan tradisi parti.
Sebaliknya, kata beliau, tradisi parti itu sering menggunakan sesi penggulungan untuk mana-mana perwakilan menyuarakan pendirian masing-masing termasuklah memoertahankan diri, berhadapan dan menjawab hujah perwakilan.
“Tidak pernah menjadi tradisi PKR sebagai parti reformis memberikan ‘the dos and the don’ts’. Masa saya dalam UMNO dulu ya nak bagi ucapan boleh ini tidak. PKR tidak buat begitu.
“Sebab itu dalam kongres hari akhir adalah hari menggulung. Di situlah yang paling manis mana-mana pemimpin diberi peluang untuk membuat penggulungan itu peluang terbaik itulah rukun dan tertib dalam mana-mana organisasi yang baik,” katanya lagi.
BACA: Anwar beritahu Zuraida Tun M arah pecat Azmin berkaitan video seks
Selepas tidak hadir pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR yang berakhir siang Ahad, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi semalam dengan lantang mengkritik Anwar dalam majlis makan malam yang membawa tema dasar kerajaan.
Malah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida juga secara terang berkata beliau dan Azmin sedia dipecat oleh ahli. – MalaysiaGazette