Home Utama Nadzrul Zarfan terkilan tidak dilayan mesra pengerusi surau

Nadzrul Zarfan terkilan tidak dilayan mesra pengerusi surau

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (tengah) beramah mesra dengan Nadzrul Zafran Sharul Azly (tiga kanan), kanak-kanak yang menulis surat kepada pengerusi surau kerana menghalaunya daripada saf pertama ketika solat di sebuah surau sewaktu mengadakan pertemuan dengannya di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Murid Tahun 4, Sekolah Kebangsaan Brickfields, Nadzrul Zarfan Sharul Azry menyatakan terkilan apabila tidak dilayan dengan mesra oleh pengerusi surau hanya disebabkan beliau seorang kanak-kanak.

Dia berkata, sepatutnya pengerusi surau atau masjid berkenaan lebih peka dengan kanak-kanak sepertinya yang mahu datang ke rumah Allah untuk sama-sama menunaikan solat secara berjemaah.

Katanya, langkah dia menulis surat kepada pengerusi masjid berkenaan hingga menjadi tular disebabkan mahu membuka mata semua pihak agar lebih sensitif dengan perkara itu khususnya yang melibatkan kanak-kanak.

“Harapan saya dengan apa yang saya tulis ini harap semua pihak dapat membuka mata dan semua orang serta masjid agar lebih mesra kanak-kanak. Saya harap masjid dijadikan tempat yang lebih mesra dengan kanak-kanak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, dia yang ditemani ibu dan bapanya mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof di Kompleks Islam di sini.

Mujahid memanggil mereka bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung insiden yang dianggapnya sebagai unik ekoran tindakan murid yang berani menulis surat sebagai teguran kepada pihak pengurusan surau berkenaan.

Menceritakan pengalamannya Nadzrul Zarfan memberitahu, kejadian itu berlaku dua tahun lepas ketika dia dan ayahnya hendak menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di Lembah Pantai.

Ujarnya, ketika itu dia dan ayahnya sudah berada di saf pertama sebelum pengerusi surau membuat pengumuman meminta kanak-kanak beralih ke saf di bahagian belakang.

Katanya, dia yang terpinga-pinga dengan pengumuman itu akur dan beralih ke saf di barisan yang ketiga.

Nadzrul Zafran Sharul Azly

“Saya terkilan, lepas habis solat terawih itu saya terus balik. Saya minta kertas kakak saya nak tulis surat.

“Saya habis tulis surat tu saya mintak nak hantar, mak saya bagi sampul jadi saya lipat surat itu. Esoknya masa nak solat terawih saya bagilah dekat tok imam untuk beri kepada pengerusi surau.

“Alhamdulillah, perkara itu dah selesai tanpa sebarang perbalahan atau pergaduhan,” ujarnya.

Sementara itu ayahnya, Sharul Azly Kassim, 42, berkata, tindakan yang diambil oleh anaknya dengan menulis surat kepada pengerusi masjid berkenaan bukanlah bertujuan untuk mengaib atau menuding jari kepada sesiapa tentang insiden yang berlaku terhadap anak lelakinya.

Katanya, tindakan Nadzrul Zarfan adalah sekadar hanya mahu memperbaiki kekhilafan serta memperbetul persepsi masyarakat terhadap kanak-kanak terutamanya dalam aspek solat berjemaah di masjid.

Katanya lagi, dia juga tidak menyangka akan mendapat jemputan daripada menteri (Mujahid) yang mahu mengetahui lebih mendalam berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette