Home Nasional SRC International: Najib sambung keterangan bela diri

SRC International: Najib sambung keterangan bela diri

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) ketika keluar dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyambung kenyataan bersumpah dari kandang saksi bagi membela dirinya dalam kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur sebentar lagi.

Prosiding yang masuk hari ke-61 dengan Najib mula memberikan kenyataan pertamanya pada 3 Disember lalu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjawab dakwaan saksi-saksi terdahulu.

Pada 11 November laliu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada minggu lepas, Najib merungkai beberapa perkara termasuk transaksi sebanyak AS$1.05 bilion (RM3.2 bilion) daripada Arab Saudi yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmBank beliau antara 2011 hingga 2013.

SRC International: Saya tidak salah guna kuasa walaupun berjawatan PM

Menurut penyataan saksi Najib, sebanyak AS$99,999,976.00 (RM304,329,765.73) dikreditkan pada 2011; AS$269,999,985.59 (RM831,919,489.84) pada 2012 dan AS$680,999,976.00 (RM2,081,476,926) pada 2013 .

Sebaliknya dakwa Najib, beliau hanya mengetahui mengenai kesemua transaksi itu apabila keterangannya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib juga mendedahkan tentang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai hubungan akrab dengan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan adiknya, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud.

“Jho Low mempamerkan dirinya sebagai individu yang amat berpengaruh di negara Asia Barat.

“Saya percaya bahawa ahli perniagaan itu mampu dalam mempermudahkan urusan pelaburan kerana negara Asia Barat mempunyai lebihan wang tunai disebabkan kenaikan harga minyak.

“Disebabkan itu saya berfikiran bahawa pengaruh dan jalinan oleh Jho Low sememangnya akan mempermudahkan matlamat dan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang diinginkan,” katanya.

Sultan Mizan lantik Jho Low jadi penasihat TIA – Najib

Najib menjelaskan, disebabkan pengaruh Jho Low yang cukup besar itu juga menyebabkan ahli perniagaan itu kekal sebagai penasihat walaupun TIA diambil alih Kerajaan Persekutuan dan ditukarkan kepada 1MDB.

Jho Low juga merupakan individu yang telah mengatur perjumpaan antara Najib dengan Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud dalam beberapa lawatan di Riyadh dan Jeddah.

Dakwa Najib sebelum lawatan rasminya ke Arab Saudi pada Januari 2010, Jho Low ada memberitahunya bahawa Raja Abdullah kagum dengan kemampuan Malaysia mengamalkan kesederhanaan sebagaimana dituntut dalam Islam dan layanan sama rata antara orang Islam dan bukan Islam.

Dalam pada itu, Najib juga mendakwa tuduhan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah terhadapnya tidak lebih daripada ‘dendam kesumat’ kerana tidak berpuas hati dengan tindak tanduk bekas Perdana Menteri itu.

Jelas Najib, Ahmad Husni tidak berpuas hati serta berdendam selepas dipindahkan daripada MOF ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menggunakan kandang saksi sebagai satu pentas untuk menyuarakan keluhannya secara terbuka.

Perbicaraan bersambung sekitar jam 9.30 pagi, Najib tiba pada jam 8.50 pagi. –MalaysiaGazette

SRC International: Tuduhan Kabinet ‘rubber stamping’ satu penghinaan – Najib