Home Ekonomi 67,000 peserta Felcra terima keuntungan interim 15 Disember ini

67,000 peserta Felcra terima keuntungan interim 15 Disember ini

Felcra

KUALA LUMPUR – Felcra akan mengagihkan keuntungan interim 2/2019 berjumlah RM50,543,739.52 kepada 67,000 peserta di seluruh negara bermula pada 15 Disember 2019.

Bagi agihan keuntungan interim 2/2019, Felcra memperuntukkan 70% daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, yang berjumlah RM72,205,342.18 untuk diagihkan kepada peserta-peserta yang terlibat.

Baki 30% akan digunakan untuk menampung sebarang kos operasi ladang yang belum diambil kira, sekiranya ada.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dari segi perbandingan dengan bayaran agihan interim yang sama bagi tahun 2018, bayaran interim 2/2019 ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak RM25,270,115.17 atau 50%.

“Penambahan ini disebabkan oleh keprihatinan kerajaan yang telah bersetuju menangguhkan bayaran balik hutang pembangunan ladang supaya dapat dipulangkan kepada peserta sebagai tambahan bayaran, sekali gus meringankan bebas kos sara hidup yang dihadapi peserta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keuntungan yang diagihkan ini adalah hasil daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta sebanyak 641 projek yang dimajukan oleh Felcra.

Agensi ini bertanggungjawab menguruskan 217,050 hektar bagi 110,733 peserta yang merangkumi kira-kira 1,510 projek di seluruh negara.

Di samping itu, Felcra telah melaksanakan transformasi menyeluruh di dalam operasi perladangan bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

Azmin berkata, kesan daripada proses transformasi ini telah menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang berkualiti seterusnya dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) sawit daripada 18.17% pada tahun 2018 kepada 18.31% bagi tahun 2019. – MalaysiaGazette