Home Dunia Lapan mangsa masih hilang di kawasan gunung berapi Pulau Putih

Lapan mangsa masih hilang di kawasan gunung berapi Pulau Putih

Asap tebal masih menyelubungi kawasan letusan gunung berapi di Pulau Putih, New Zealand. foto Agensi

WELLINGTON – Polis New Zealand mengesahkan lima orang terbunuh manakala lapan lagi masih hilang selepas gunung berapi di Pulau Putih tiba-tiba meletus.

Letusan itu berlaku ketika para pelancong sedang melawatnya.

Setakat ini 34 orang dilaporkan telah diselamatkan dengan 31 orang menerima rawatan di hospital.

Dua wanita Inggeris adalah antara mereka yang menerima rawatan, kata Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom (UK) ke New Zealand, Laura Clarke.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata, beliau bimbang tiga dari lima orang yang dilaporkan mati itu adalah warga negaranya.

Morrison berkata, seramai 24 warga Australia berada di atas kapal pelayaran menjelajah Teluk Plenty apabila gunung berapi meletus.

Daripada jumlah tersebut, 13 orang telah dimasukkan ke hospital dan 11 orang tidak dijumpai, katanya.

“Ini adalah tragedi yang dahsyat, ia berlaku ketika pelancong sedang menikmati pengembaraan,” katanya.

Antara yang mangsa yang disenaraikan masih hilang dan cedera adalah rakyat Malaysia, Amerika Syarikat, China dan New Zealand.

Difahamkan para pelancong sedang berjalan ke arah kawah gunung berapi Pulau Putih sebelum ia meletus.

Mangsa-mangsa telah dibawa keluar dari kawasan itu dengan menggunakan helikopter dan bot, kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Bagaimanapun, pasukan menyelamat masih dapat pergi ke kawasan berkenaan kerana masih bahaya dengan asap tebal dan abu berterbangan. – MalaysiaGazette