KUALA LUMPUR – Menteri-menteri-menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa lebih minat berpolitik sesama sendiri tanpa membuat apa-apa untuk mengukuhkan ekonomi.
Sedangkan, asas kekuatan sesebuah negara adalah status ekonominya.
Oleh itu, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengenal pasti pasaran berpotensi dan bekerjasama dengan pihak berkenaan, kata Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong
Sebagai contoh, katanya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanya mampu menambah pendapatan negara dengan memperkenalkan pelbagai cukai baharu seperti levi pelepasan, cukai minuman bergula dan cukai perkhidmatan digital.
Namun, ekonomi negara masih tidak ‘melonjak’.
Lebih mengecewakan, katanya, Guan Eng sekarang dilihat lebih minat campur tangan dalam isu peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) yang sebenarnya di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.
Sejak PH membentuk kerajaan baharu, hutang langsung kerajaan meningkat sebanyak RM94 bilion.
Menurut Guan Eng, nisbah hutang kepada KDNK meningkat sebanyak 2.5% daripada 50.1% pada tahun 2017 kepada 52.6% pada Jun 2019.
Dakwa Ban Hong lagi, tindakan kerajaan menjual aset negara dan mengambil pinjaman bon untuk mengimbangi perbelanjaannya bakal meninggalkan kesan negatif dalam jangka masa panjang.
“Walaupun negara-negara lain juga mengalami kelembapan ekonomi, tetapi adakah kerajaan PH bertindak memperkenalkan atau melaksanakan pakej rangsangan ekonomi untuk menarik pelaburan asing? Jawapannya, tidak.
“Lebih-lebih lagi, walaupun banyak aset negara telah dijual, namun hutang negara masih kekal tinggi, malah mencecah hampir tiga kali ganda hutang semasa zaman Barisan Nasional,” katanya.
Tambahnya, negara sekarang berhadapan pengaliran keluar dana asing sebanyak RM9.9 bilion dan penurunan 5.77% di pasaran saham Asia Pasifik, kadar pertukaran mata wang yang lemah, kejatuhan eksport sebanyak 6.7%.
Tegas beliau, tanggungjawab kerajaan bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan negara, tetapi juga meningkatkan pendapatan rakyat.
Dengan ini, akan memberi rakyat kuasa pembeli yang lebih, sekali gus membawa kepada taraf kehidupan yang lebih tinggi, dan secara langsung mengembangkan ekonomi tempatan.
Namun, jika menteri-menteri PH masih enggan mengambil endah keadaan negara, maka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sudah tentu akan kekal sebagai laungan slogan saja, ujarnya. – MalaysiaGazette