
KUALA LUMPUR – Persamaan yang terkandung dalam Perlembagaan antara Pas dan UMNO mampu mengelak manipulasi daripada pelbagai pihak termasuk ahli dan penyokong kedua-dua parti.
Malah, perkara itu jelas membuktikan bahawa ia adalah kejayaan yang dicapai menerusi Muafakat Nasional, kata Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM), Salamiah Mohd Nor.
Beliau berkata, senario itu diharap akan lebih menyedarkan rakyat Malaysia bahawa Pas dari dulu, kini dan pada masa akan datang tetap utuh dengan dasar Islam dan bercita-cita menegakkan Islam dalam kehidupan masyarakat dan negara.
“Dewan Muslimat Pas Negeri Pahang bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan persidangan Agung UMNO yang secara jelas menyokong dan bersetuju dengan pindaan Perlembagaan UMNO sehingga sedia mengangkat dan mendaulatkan Islam sebagai teras Perlembagaan parti tersebut.
“Tindakan sedemikian membuktikan bahawa UMNO bersedia untuk menjadikan parti itu sebagai sebuah parti yang seiring dengan Pas untuk menegakkan Islam di Malaysia khususnya dan sedia memahami Islam sahaja yang mampu menghadapi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Salamiah berkata, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa hanya Islam yang layak memimpin dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia kerana agama itu yang mendatangkan kesejahteraan dan keharmonian, berkebajikan serta adil.
Justeru katanya, beliau mengharapkan agar seluruh kepimpinan dan ahli UMNO dapat merealisasikan dan menterjemahkan melalui perbuatan dan tindakan yang selari dengan Perlembagaan Parti yang dipinda itu.
“UMNO juga perlu bersungguh-sungguh dan istiqamah dengan dasar Islam dalam pelbagai situasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette