Home Utama Seorang rakyat Malaysia disahkan antara mangsa gunung berapi NZ

Seorang rakyat Malaysia disahkan antara mangsa gunung berapi NZ

Gunung berapi yang terletak di Pulau Putih New Zealand yang secara tiba-tiba meletus mengorbankan lima orang mangsa. foto AGensi

KUALA LUMPUR – Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand mengesahkan sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia maut dalam tragedi letusan gunung berapi di White Island, semalam.

Bagaimanapun, butiran mangsa masih belum diketahui memandangkan siasatan masih dijalankan.

“Pada jam 9.30 pagi ini (waktu tempatan) Pesuruhjaya Tinggi dimaklumkan oleh pihak berkuasa New Zealand sekurang-kurangnya seorang yang maut adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu menerusi Twitter.

Susulan itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand meminta orang ramai untuk menghubungi pejabat tersebut jika menerima maklumat ada rakyat Malaysia yang berada di lokasi bencana.

Katanya, pejabat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan akan terus mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden dalam kenyataannya mengesahkan pelancong Malaysia, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan China antara mangsa yang hilang dan cedera berikutan letusan gunung berapi tersebut.

Ketika gunung itu secara tiba-tiba meletus tanpa sebarang amaran, dilaporkan terdapat 47 orang pelancong berada di pulau tersebut.

Gunung berkenaan dilaporkan meletus dua kali secara berturut-turut.

Jacinda berkata, semasa kejadian terdapat dua kumpulan berada pulau itu.

Satu kumpulan dilaporkan berada dengan letusan dan mereka yang berjaya diselamatkan.

Kejadian itu mengakibatkan lima terbunuh dan lapan masih hilang.

Seramai 31 orang masih dirawat di hospital dan tiga lagi dibenarkan keluar. – MalaysiaGazette