KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan marah dan hilang sabar seketika dengan soalan yang dikemukakan oleh Tan Sri Tommy Thomas ketika sesi soal balas pendakwaan pada perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. hari ini
Perbicaraan yang masuk hari ke-62 menyaksikan bekas Perdana Menteri itu disoal balas oleh Tommy selepas beliau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh peguam bela, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah.
Tommy yang memulakan soalan tentang karier politik Najib dalam bahasa Inggeris namun Ahli Parlimen Pekan itu memilih untuk menjawab dalam Bahasa Melayu.
Najib juga kelihatan tenang serta bersahaja namun soalan yang dibangkitkan oleh Tommy tampak tidak ‘relevan’ baginya untuk kes SRC International.
Tommy mahu mengetahui latarbelakang politik Najib dan bekas Perdana Menteri itu menjawab bagaimana beliau tidak begitu teruja menjadi Menteri Besar Pahang suatu ketika dahulu.
Najib juga memberitahu beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika menjawat jawatan Menteri Besar Pahang.
Tommy kemudian membangkitkan persoalan adakah Najib menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad ketika krisis 1986 ketika pemilihan Predisen UMNO antara Dr. Mahathr dan Tengku Razaliegh Hamzah.
Tommy: Ketika perebutan kuasa antara kumpulan A dan B, antara Tun Mahathir dan Tengku Razaliegh, siapa yang kamu sokong?
Adakah kamu menyokong Tun Mahathir pada masa itu?
Najib: Yang Arif, adakah soalan ini relevan dengan kes? Ini persoalan politik, adakah saya perlu jawab?
Tommy: Ya, kamu perlu jawab selagi tidak ada bantahan dari peguam anda.
Najib: Saya sokong Tun Mahathir.
Tommy kemudian beralih kepada soalan siapakah yang telah melantiknya menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.
Najib kemudian menjawab bekas Perdana Menteri ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melantiknya sebagai Meneri Kewangan pada masa itu lagi.
Tommy: Adakah anda terus pegang jawatan berkenaan selepas menjadi Perdana Menteri? Anda jadi Menteri Kewangan ‘sendiri’?
Najib kemudian membantah cara soalan yang dilontarkan oleh Tommy namun menjawabnya juga.
“Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Kewangan. Ya, saya adalah Menteri Kewangan,” katanya ringkas kepada Tommy.
Perbicaraan bersambung dengan Tommy terus menyoal balas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nzalan Mohd Ghazali ketika ini. – MalaysiaGazette