MELBOURNE – Angka korban akibat letupan gunung berapi White Island (Whakaari) di New Zealand telah meningkat kepada enam orang selepas seorang daripada 31 yang dimasukkan ke hospital meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan polis pada Rabu.
Polis berkata 25 dari 30 mangsa yang cedera masih berada dalam keadaan kritikal akibat letupan gunung berapi pada Isnin tengah hari.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan identiti mangsa yang meninggal dunia dan yang masih dirawat di Hospital Middlemore.
Polis mengesahkan bahawa lapan orang masih hilang dan tiada lagi tanda-tanda kehidupan di pulau itu.
Mereka menambah bahawa mangsa terdiri daripada pelancong dari Australia, United Kingdom (UK), China, Jerman, New Zealand, Malaysia dan Amerika Syarikat.- BERNAMA