KUALA LUMPUR – Saya suka coklat. Pastinya anda juga suka coklat, kanak-kanak apatah lagi. Mereka adalah penggemar coklat yang tegar.
Disebabkan itu, coklat sering dikaitkan sebagai makanan ringan yang mempunyai kuasa luar biasa kerana memberi kegembiraan kepada sesiapa sahaja.
Bukan setakat kombinasi rasa koko menyebabkan rasanya sedap, coklat juga mempunyai tekstur yang lembut, pelbagai bentuk dan tampil dengan bungkusan yang menarik.
Ketika zaman awal diperkenalkan pada tahun 1300 hingga 1500, cacao atau biji koko mentah yang belum diproses berfungsi sebagai ubat dan serbuk cacao pula merupakan sejenis minuman sihat.
Biji cacao yang diproses menjadi serbuk mempunyai kandungan anti-oksidan dan vitamin yang tinggi, sumber magnesium, potassium, zat besi dan kalsium. Disebabkan itu, cacao digelar superfood.
Seiring dengan perkembangan teknologi sekitar tahun 1800, cacao telah bertukar menjadi makanan yang kurang sihat kerana serbuk koko mengandungi kandungan gula yang tinggi, selain bahan-bahan tambahan lain.
Bermula dari era inilah, kemunculan coklat-coklat jenama yang masih utuh terkenal sehingga hari ini.
Ledakan teknologi dalam penghasilan coklat selepas itu terus menawarkan coklat dengan pelbagai perisa – menyebabkan coklat bukan lagi makanan sihat dek campuran pelbagai kandungan di dalamnya, khususnya manisan seperti gula.
Namun, kesedaran tinggi terhadap kesihatan sejak kebelakangannya menyebabkan muncul coklat yang dihasilkan secara tradisional, sekali gus mendorong penerokaan minat baru dalam industri cacao.
Di Malaysia, Benns Ethicoa Chocolate Factory Sdn Bhd merupakan syarikat coklat yang mengeluarkan jenama Benns Ethicoa, dihasilkan secara tradisional untuk mengembalikannya sebagai snek sihat.
Pengarah Eksekutifnya, Wilfred Ng berkata, syarikat itu hanya menghasilkan jenama coklat gelap premium atau mewah, merentasi pasaran besar-besaran coklat konvensional.
Semuanya bermula pada tahun 2017 kerana Benns Chocolate mahu mengubah persepsi bahawa coklat yang dihasilkan daripada sumber biji koko dari negara-negara Asia tidak kurang hebatnya.
Maka lahirlah coklat Benns sebagai satu-satunya jenama bean-to-bar daripada cacao.
“Kita sering dimomokkan dengan kenyataan-kenyataan yang menyatakan coklat paling sedap adalah dari Eropah atau Amerika Syarikat.
“Hakikatnya, cacao dari Asia juga tidak kurang sedapnya,” katanya yang lahir dalam keluarga yang berkecimpung dalam industri coklat.
Bapanya, Ng Tuck Ming merupakan pekerja di Allied Chocolate (jenama pemilik Van Houten) pada tahun 1960-an di Singapura sebelum membuka kilang sendiri, Highland Chocolate.
Ng kemudian membawa balik operasinya ke Malaysia pada tahun 1999 dengan menubuhkan Benns Chocolate.
Wilfred berkata, adalah tidak adil dengan menyatakan coklat dikeluarkan di Eropah atau Amerika Syarikat adalah paling sedap.
“Saya tidak setuju dengan tanggapan itu kerana jika anda seorang penggemar coklat dan boleh menghayati setiap rasanya, sukar sebenarnya untuk membezakan kesedapan coklat.
“Ini kerana, setiap coklat yang dihasilkan ada citarasanya sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette
Jelas Wilfred, pokok koko terdiri daripada tiga jenis iaitu Forastero, Criollo, dan Trinitario.
Forastero paling banyak digunakan, yang terdiri daripada 80-90% pengeluaran dunia koko manakala buah koko dari jenis Criollo lebih jarang dan dianggap sebagai makanan istimewa.
Trinitario pula sering dianggap sebagai buah koko terbaik dunia.
Namun, Wilfred yang lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri cacao berkata, sebenarnya setiap buah koko memiliki rasa unik tersendiri dan sukar untuk menentukan mana yang sedap, atau sebaliknya.
Tekstur dan rasa cacao sebenarnya juga sangat bergantung kepada banyak faktor termasuk cuaca, baka, tanah sehinggalah kepada proses pembuatan produk koko itu sendiri.
Atas alasan itu, katanya, Benns Chocolate melancarkan strategi penjenamaannya berdasarkan kepada latar belakang ladang-ladang dan petani-petani cacao yang menjadi sumber utama kepada produknya.
Sumber-sumber biji cacao yang digunakan oleh Benns Chocolate berasal dari Malaysia, Vietnam, Filipina dan India.
Dari Malaysia, Benn Chocolate mendapatkan sumber buah koko dari ladang cacao Sungai Ruan, Pahang; Anaimalai, Tamil Nadu, India; Vung Tau, Ba Ria, Vietnam; Calinan, Davao, Filipina dan Lampang, Nakhon, Thailand.
Beliau menjelaskan, Benns Chocolate juga berurusan terus dengan peladang-peladang kerana mahu memastikan ia mendapat cacao yang paling berkualiti tinggi.
Langkah ini bagi memastikan peladang-peladang cacao mendapat pendapatan setimpal dengan kualiti buah koko yang dihasilkan berbanding melalui orang tengah.
Katanya, peladang-peladang yang menjual buah koko secara terus kepada Benns Chocolate ditawarkan harga yang premium sekitar AS$7 hingga AS$8 bagi setiap kilogram.
Harga itu lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa kira-kira AS$3 sekilogram.
“Tawaran harga yang lebih mahal ini bertujuan memberi galakan kepada pekebun-pekebun koko untuk menghasilkan buah koko berkualiti. Apabila koko dihasilkan berkualiti, maka Benns Chocolate dapat mengeluarkan coklat dan produk koko yang bernilai tinggi.
“Ini juga menjadi penanda aras bahawa Benns Chocolate menghasilkan coklat berkualiti tinggi dan mewah, setanding dengan coklat-coklat dalam segmen yang sama di luar negara,” tambahnya.
Wilfred berkata, walaupun memperoleh sumber cacao dari Asia, tetapi buah koko dari setiap negara itu mempunyai keunikan rasa masing-masing.
Bagi berkongsi kelainan itu, Benns Chocolate menawarkan coklat kepelbagaian perisa daripada sumber-sumber cacao yang berbeza.
Menariknya, coklat Benns menggunakan nama tempat buah koko dihasilkan pada kertas pembungkusan untuk membezakan perisa-perisa yang berbeza.
Bagi bungkusan Anaimalai, coklat Benns menawarkan coklat dengan campuran kismis dan gajus; buah cranberries dan cherries dan asam jawa (Lampang), blackcurrents, kismis dan badam (Sungai Ruan), burnt caramel, salted caramel dan red milk tea (Calinan) dan red currant, aprikot kering dan buah pala (Vung Tau).
Kepelbagaian rasa unik coklat Benns daripada buah koko yang berbeza destinasi ini telah menjadikan coklat jenama ini unik.
Wilfred berkata, untuk memastikan kualiti premium coklat Benns, ia menggunakan 72% kandungan cacoa di dalam coklat keluarannya.
Ia merupakan kombinasi terbaik untuk menikmati rasa koko sebenar di dalam coklat yang rasanya sedikit pahit.
“Penggemar coklat premium selalunya sukakan keaslian rasa koko yang sebenar, sedikit pahit dan cair di mulut tanpa perlu mengunyahnya.
“Itulah rasa kenikmatan coklat mewah yang sebenar. Dengan adanya coklat Benns penggemar coklat tidak perlu was-was untuk menikmatinya.
“Ini kerana, anda boleh ketepikan tanggapan bahawa coklat adalah sejenis makanan tidak sihat, menggemukkan dan penyumbang kepada masalah kesihatan,” ujar usahawan coklat ini. – MalaysiaGazette
https://www.youtube.com/watch?v=l2A9OpDWeiE