Home Nasional Kenapa Yusoff Rawther tunggu setahun untuk buat laporan polis

Kenapa Yusoff Rawther tunggu setahun untuk buat laporan polis

Muhammad Yusoff Rawther berjalan keluar selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Biro Guaman PKR Perak, Khairul Anuar Musa berkata dakwaan Muhammad Yusoff Rawther bahawa beliau dicabul menimbulkan banyak keraguan kepada umum.

Katanya, mengapa Yusoff tidak terus membuat laporan polis sebaik kejadian itu berlaku dan menunggu hampir setahun untuk membuat laporan polis.

“Tidak munasabah bagi seorang manusia yang sihat akal fikiran (reasonable man) untuk menunggu selama hampir setahun membuat laporan polis berkenaan kes berkenaan.

“Justeru tuduhan yang dilakukan oleh Muhammad Yusof Rawter ini tidak kukuh atau disebut sebagai “could not left to stand”,” kata Khairul Anuar dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kes Yusoff kini disiasat dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu “menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan”.

Mengulas mengenai itu, Khairul Anuar berkata, dalam Seksyen 354 Kanun Keseksaan, terdapat dua elemen utama yang perlu ditonjolkan Yusoff mengenai dakwaannya.

Pertama, wujud satu serangan atau kekerasan jenayah terhadap seseorang dan kedua, jenayah itu dilakukan dengan niat hendak mencabul kehormatan orang itu atau dengan pengetahuan bahawa kehormatannya akan dicabul.

“Perlu ada bukti sokongan dari keterangan bebas selain dari keterangan pengadu tersebut. Perlu diingat kes cabul bukannya kes rogol.

“Beban pembuktian kes cabul adalah tinggi memandangkan tiada bukti fizikal tindakan mencabul itu berlaku,” katanya lagi.

Yusoff menghabiskan tempoh 3 jam semalam, pada hari kedua beliau dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan terhadap dakwaannya itu.

Kelmarin, Yusoff diambil keterangan selama 7 jam sambil ditemani peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Kathri Abdulla.

Ia ekoran dakwaannya berkaitan salah laku seks terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette