KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menyegerakan kerja-kerja pelebaran Jalan Selayang Baru bagi melancarkan pembinaan Pusat Sembelihan Ayam Halal Bersepadu Selayang.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman menegaskan, pada masa ini, terdapat beberapa pembinaan haram di atas tapak projek pelebaran jalan berkenaan.
Menurutnya, jika DBKL gagal merobohkan binaan sepanjang 18 meter itu, ia akan melambatkan kerja-kerja pelebaran jalan dan pembinaan pusat sembelihan itu yang dijadualkan siap pada pertengahan tahun 2021.
“Isu pelebaran jalan ada kekangan pembangunan yang melewati tanah Wilayah Persekutuan perlu diambil tindakan dirobohkan baru projek ini dapat dilaksanakan.
“Saya dimaklumkan pihak atas DBKL tindakan meroboh akan dilakukan dalam masa terdekat, ia melibatkan beberapa bangunan bukan sahaja bangunan usang bahkan binaan baru seperti bangunan Sri Ternak.
“Bangunan baru ini melewati tanah Wilayah Persekutuan hingga 18 meter dan pihak berkuasa akan merobohkan bangunan ini. Jalan Selayang Baru akan dilebarkan dari dua laluan kepada empat lalun,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad membuat lawatan mengejut dan menyaksikan sendiri kemajuan projek pembinaan Pusat Semblihan Ayam Halal Bersepadu di Selayang.
Khalid memberi peringatan kepada pemaju dan kontraktor terbabit agar projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu dapat disiapkan mengikut jangka masa ditetapkan sekaligus permasalahan masyarakat setempat diatasi secepat mungkin.
Rosli juga menegaskan, sekiranya binaan secara haram itu dibiarkan, bukan sahaja menghalang pelebaran jalan bahkan ia akan mengganggu operasi pusat sembelihan itu yang memproses 200,000 ayam halal setiap hari.
“Bayangkan jika keadaan jalan di kawasan ini tidak dinaik taraf dan dilebarkan, maka ia akan menyukarkan penduduk-penduduk di kawasan itu.
“Kita nak pastikan supaya pusat sembelihan ayam ini beroperasi pada pertengahan 2021. Kalau jalan ini tidak dinaik taraf kepada empat laluan, ianya akan menyukarkan kepada kita sedangkan hari ini pun jalan itu nampak sesak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette