KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan pemain antarabangsa Singapura, Safuwan Baharudin sebagai pemain import terbaharu pasukan pada musim ini.
Perkara itu disahkan melalui satu video yang pengenalan pemain yang dikongsikan di plaform media sosial FAS hari ini.
Safuwan bukan watak asing di kancah saingan Liga Malaysia selepas beraksi selama dua musim bersama pasukan Pahang FA sebelum ini.
Ketibaan Safuwan melengkapkan senarai import pasukan Selangor untuk Liga Malaysia 2020 selepas memiliki Sandro da Silva dari Brazil, Ifedayo Olesegun (Nigeria), Rufino Segovia (Sepanyol), dan Taylor Regan (Australia).
Safuwan yang akan melengkapkan slot import untuk pemain ASEAN adalah pemain tengah bertahan yang digandingkan dengan Brendan Gan yang berhijrah dari Perak.
Sejak menyertai Pahang pada dua musim lalu, Safuwan adalah antara pemain import ASEAN yang paling konsisten.
“Bismillah. Musim baharu. Permulaan baharu. Matlamat baharu. Terima kasih FA Selangor kerana memberi peluang untuk saya menjadi sebahagian daripada pasukan.
“Saya akan memberikan yang terbaik, inshaAllah!” ujarnya melalui muat naik di Twitter.
Safuwan adalah produk Young Lions FC dan turut merupakan sebahagian daripada anggota skuad Lions XI yang muncul juara Liga Super pada 2013 dan Piala FA pada 2015.
Sepanjang bersama Pahang, pemain yang turut pernah berkelana bersama Melbourne City FC ini pernah membantu skuad Tok Gajah muncul juara Piala FA pada 2018. – MalaysiaGazette