Home Pendapat ‘Kegagalan ini suatu petanda buruk’

‘Kegagalan ini suatu petanda buruk’

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Saya jarang membuat kenyataan akhbar berkaitan dengan prestasi sukan negara selepas persaraan.

Namun begitu, kali ini ia tidak dapat saya bendung kerana saya amat kecewa dengan prestasi kontinjen di temasya Sukan SEA ke-30 yang baru sahaja berakhir.

Saya rasa tentu turut dirasai oleh rakyat Malaysia dan peminat sukan di negara ini yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada wira-wira kita.

Baru-baru ini apabila YB umumkan sasaran kontinjen untuk capai 70 pingat emas, 56 perak dan 121 gangsa yang kononnya untuk mencatat kejayaan terbaik di luar KL, saya pertikaikan sasaran itu yang saya anggap terlalu rendah.

Saya menjangkakan kontinjen boleh mencapai lebih daripada 80 emas berbanding dengan Korat 2007 (pencapaian 68 emas) kerana acara pada temasya kali ini lebih banyak di samping bilangan atlet juga lebih ramai.

Pada masa itu, tidak terfikir oleh saya yang kontinjen tidak mampu mencapai sasaran apatah lagi tidak boleh mencapai angka 60 sekali pun.

Jumlah sasaran keseluruhan pingat juga jauh tersasar. Pada saya, daripada mencatatkan kejayaan terbaik di luar KL bertukar kepada igauan ngeri menjadi pencapaian paling buruk dalam sejarah.

Kontinjen negara juga gagal mencapai sasaran kedudukan keempat terbaik apabila hanya berjaya menduduki tempat kelima.

Perbezaan pingat emas dengan negara yang menduduki tempat keempat (Thailand) juga terlalu jauh.

Kegagalan ini suatu petanda buruk terhadap masa depan sukan negara terutama dalam masa kurang setahun lagi kita akan menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beberapa atlet yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo juga gagal menyerlah dan gagal memenangi pingat emas.

Kita sudah menetapkan untuk memenangi pingat emas pertama untuk negara di temasya berkenaan atau sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian empat perak di Rio 2016.

Tidak pernah juga terfikir oleh saya yang kali ini kita gagal memenangi sebarang pingat emas di dalam acara pelayaran, memanah recurve, ski air, menembak, sepak takraw, ragbi dan berbasikal.

Beberapa sukan yang sentiasa menjadi lubuk emas kita seperti silat, tenpin boling, memanah compound dan renang juga kurang menyerlah.

Tambah menyedihkan apabila kita gagal melayakkan diri ke separuh akhir ibu segala pingat iaitu bola sepak.

Sukan badminton pula tidak boleh berbangga dengan tiga pingat emas dimenangi. Ini kerana pemain-pemain kita bernasib baik kerana pemain-pemain terbaik dari Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu kerana bertembung dengan kejohanan penting itu BMF World Tour Final yang akan diadakan di Guangzhou, China pada 11-15 Disember 2019.

Saya tidak fikir pemain-pemain kita mampu memenangi walaupun satu emas sekiranya semua pemain terbaik rantau Asia Tenggara ini seperti Anthony Ginting, Jonathan Kristie, Inthanon Ratchanok, Gideon/Sukamulyo dan Ahsan/Setiawan menyertai semua acara individu berkenaan.

Kontinjen negara masih bernasib baik dan patut berterima kasih kepada beberapa sukan yang turut menyumbang emas walaupun tidak disasarkan pingat seperti catur, billiards sport, break dance dan skate boarding.

Kalau tidak, pencapaian akan menjadi lebih buruk lagi.

YB patut lebih mendengar rintihan dan keluhan persatuan-persatuan sukan kebangsaan dari lebih mendengar dan percaya kepada satu pihak sahaja.

Sepertimana dilakukan oleh Timbalan Menteri yang lebih kerap turun padang. Tapi sebagai Timbalan, apa yang boleh beliau lakukan?

Persatuan sukan ini sentiasa merintih kerana tidak mendapat peruntukan dan perhatian sewajarnya dari MSN.

YB lihatlah sekarang ini sudah mula keluar kenyataan dari pegawai-pegawai persatuan dan atlet yang mempersoalkan tindakan serta keputusan MSN yang tidak membantu mereka.

Mereka tidak lagi dapat menyembunyikan kekecewaan mereka. Ini termasuklah kenyataan Irfan Shamsuddin, pemenang emas acara lempar cakera memaklumkan yang beliau terpaksa mengeluarkan ratusan ribu ringgit perbelanjaan sendiri untuk berlatih di luar negara termasuk membayar gaji jurulatih beliau.

Moh Keen Ho dari sukan snuker juga membuat kenyataan yang sama sehinggakan terpaksa membawa diri keluar negara.

Saya masih ingat apabila kita gagal mencapai sasaran di Sukan Asia Incheon dan Sukan Komanwel Glasgow 2014, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara pada masa itu dengan lantang mencadangkan kepada Menteri KBS supaya dilakukan satu audit pengurusan untuk mencari punca kegagalan.

Saya amat berharap kali ini beliau tampil dengan kenyataan serupa. Apatah lagi beliau sekarang adalah Ahli Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara yang seharusnya dapat menasihati YB Menteri Belia dan Sukan.

Beliau juga adalah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia.
Bagi saya sebelum terlewat, satu bedah siasat perlu dilakukan segera sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Analisa terperinci perlu dibuat untuk mencari punca kegagalan. Sesetengah sukan mendapat peruntukan yang sangat tinggi tetapi gagal membuahkan kejayaan yang memuaskan.

Ketua Pengarah MSN perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini sebagaimana saya bertanggungjawab di atas kegagalan pada 2014 dulu yang menyebabkan saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai KP MSN.

Saya juga masih ingat apabila kontinjen negara gagal di Sukan Asia dan Komanwel 2018, Pengarah Program Podium ISN, Tim Newenham terpaksa meletakkan jawatan beliau.
Ia dilakukan atas rasa tanggungjawab di atas kegagalan.

Saya amat berharap agar YB dapat melakukan sesuatu tindakan yang drastik bagi menangani situasi ini.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada atau ‘business as usual’ kerana business kali ini amat merugikan. Masa untuk berbulan madu sudah lama berlalu.

Tumpuan sepenuhnya perlu diberi untuk mencapai kejayaan dan sasaran di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Saya khuatir kontinjen negara akan pulang dengan tangan kosong seperti yang berlaku di Sydney 2000 dan Athens 2004 yang bagi saya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk berulang.

Prestasi atlet-atlet negara terutama pemain-pemain badminton dan akuatik terjun yang sentiasa menjadi sandaran pingat negara di temasya berkenaan sebelum ini, buat masa ini berada di dalam keadaan tenat dan amatlah tidak meyakinkan.

Kenyataan ini saya buat dengan ikhlas tanpa mempunyai apa-apa kepentingan peribadi kerana saya masih sayangkan sukan negara yang kita semua sayangi.

Keyakinan rakyat dan peminat sukan negara perlu dikembalikan di dalam memastikan yang sukan prestasi tinggi masih relevan di negara kita ini.

Terima kasih.
Daripada Datuk Seri Zolkples Embong, Bekas Ketua Pengarah MSN. – MalaysiaGazette