Home Politik Mansuh PTPTN: Patutnya kerajaan ambil tanggungjawab

Mansuh PTPTN: Patutnya kerajaan ambil tanggungjawab

PTPTN berterima kasih kepada kerajaan Sarawak prihatin bantu anak negeri bayar baki pinjaman.

KUALA LUMPUR – Janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menangguhkan pembayaran semula hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan punca agensi tersebut mencatat jumlah hutang tertunggak yang terlampau tinggi.

Sedangkan semasa zaman Barisan Nasional, PTPTN telah memanfaatkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah termasuk pelajar universiti awam dan universiti swasta tanpa mengira kaum.

Pada masa itu, kata Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How berkata, kadar pembayaran balik hutang masih memuaskan.

Malah, para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang boleh memohon untuk menukarkan pinjaman PTPTN kepada biasiswa, secara tidak langsung menggalakkan pelajar menjadi lebih rajin untuk belajar.

“Selain itu, diskaun turut ditawarkan kepada mereka yang membuat pembayaran balik pinjaman. Langkah-langkah ini membolehkan PTPTN berfungsi dengan baik di samping meneruskan objektifnya untuk membantu para pelajar yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, semasa PRU14, PH berjanji untuk memansuhkan semua hutang pinjaman PTPTN kerana terlalu terdesak untuk menang.

Janji tidak rasional tersebut akhirnya telah ‘makan tuan’, tempelaknya.

Sejak membentuk kerajaan baharu, Pakatan Harapan cuba mengelak untuk bertanggungjawab dengan mengalih perhatian rakyat. Malah ada juga pihak yang mencadangkan supaya terus memansuhkan PTPTN kerana bimbang hutangnya yang tinggi.

Disebabkan penipuan PH, akhirnya kebajikan rakyat dikorbankan.

“Jika PTPTN dimansuhkan, berapa ramai pelajar yang akan dinafikan peluang untuk melanjutkan pendidikan mereka kerana tidak mampu membayar yuran pengajian?

“PTPTN telah banyak menyumbang kepada rakyat dan negara. Ini tidak boleh dinafikan.

“Walaupun ada segelintir peminjam yang enggan membayar balik pinjaman mereka, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan terhadap golongan ini, dan bukannya berterusan menghukum mereka yang tidak berdosa,” ujarnya lagi.

Malah, kata Daniel, jika ada di antara mereka yang betul-betul tidak mampu membayar balik hutang tersebut, kerajaan boleh membantu dengan menawarkan subsidi ataupun bantuan.

Ia harus ditekankan sekali lagi bahawa PHharus bertanggungjawab atas penipuan mereka dan janganlah menjadikan rakyat yang tidak berdosa sebagai mangsa.

Baru-baru ini semasa berlangsungnya Kongres Nasional PKR 2019, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menggesa supaya PTPTN dimansuhkan dan digantikan dengan pendekatan yang lebih holistik dan mapan.

Jika tidak, katanya, hutang PTPTN akan terus meningkat kepada RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun lagi, lebih tinggi berbanding hutang 1MDB.

Menurut Akmal, 68% peminjam PTPTN yang sudah tamat pengajian tetapi gaji yang diperoleh mereka adalah rendah dan berada di dalam kategori B40. – MalaysiaGazette