GLASGOW – Pengurus Steven Gerrard memperbaharui kontrak bersama Rangers sehingga 2024.
Bekas Kapten Liverpool itu percaya Rangers sedang membangun secara istimewa dalam arena bola sepak domestik dan antarabangsa.
Bekas pemain England berusis 39 tahun itu telah dilantik dengan kontrak baharu bertempoh empat tahun pada tahun 2018 selepas meninggalkan peranannya sebagai jurulaith pasukan remaja di Anfield.
Rangers kini menduduki tempat kedua dalam carta liga perdana Scotland, dua mata di belakang pendahulu Celtic yang menewaskannya pada aksi akhir Piala Liga.
Khamis lalu, Rangers mara ke pusingan 32 pasukan dalam Liga Europa.
“Apabila pengerusi Dave King mendekati saya mengenai potensi menyambung kontrak saya bersama kelab, ia satu keputusan mudah untuk dibuat kerana saya sangat gembira dan merasakan bahawa kami sedang membina sesuatu istimewa bersama kelab ini.
“Saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi penghargaan kepada ahli lembaga kelab yang menyokong saya termasuk penyokong Rangers sepanjang musim lalu dan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi kelab itu.
Selain Gerrard, penolongnya Gary McAllister, dengan jurulatih Michael Beale, Tom Culshaw, Colin Stewart, Jordan Milsom, Mark Waller, Scott Mason dan Graeme Stevenson turut memperbaharui kontrak mereka bersama Rangers.
King berkata, sejak kali pertama bertemu Gerrard, telah membuat ketetapan bahawa dia orang paling layak membawa kelab ini ke hadapan di atas padang.
“Dia mempunyai mentaliti elit dan itulah yang saya idamkan sampai bila-bila masa.
“Dia begitu serius untuk membawa kegemilangan kepada Rangers dan kami sangat gembira memperbaharui kontraknya yang membuktikan komitmennya bersama Rangers,” katanya.-MalaysiaGazette