Home Politik UMNO, Pas gesa Ronnie tarik balik kenyataan agungkan PKM

UMNO, Pas gesa Ronnie tarik balik kenyataan agungkan PKM

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata pengumuman itu akan dibuat oleh timbalan presiden parti yang juga pengarah jentera UMNO bagi PRK tersebut, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas Selangor mahu Ronnie Liu menarik balik kenyataannya yang mengagung-agungkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu telah membuat kenyataan sedemikian selepas hadir sebagai tetamu dalam satu majlis memperingati ulang tahun 30 Perjanjian Damai Hadyai baru-baru ini.

“Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan Ronnie telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa datuk dan abang beliau pernah berjuang bersama PKM.

“UMNO dan Pas Selangor turut menuntut agar semangat titah Tuanku Sultan Selangor jangan lagi ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dalam menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati pengganas PKM di Selangor,” tegasnya dalam satu kenyataan bersama UMNO dan Pas Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama UMNO dan Pas Selangor menyokong titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu rakyat Selangor jangan terkeliru dengan fakta sejarah.

PKM, kata Mat Nadzari, bukan perjuangan berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia berteraskan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“UMNO dan Pas Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan Selangor dan menyeru penyokong serta ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangan terkeliru fakta sejarah berkaitan PKM – Sultan Selangor