Home Ekonomi 200 unit Proton X70 ditempah semasa jualan ulang tahun 12.12 Shopee

200 unit Proton X70 ditempah semasa jualan ulang tahun 12.12 Shopee

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 200 tempahan telah diterima untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) yang memenangi anugerah, Proton X70 dalam beberapa hari pertama semasa Jualan Ulang Tahun 12.12 Shopee, mencerminkan populariti model premum dalam segmen C itu.

Ia juga menunjukkan penerimaan pelanggan dalam talian bagi membuat tempahan kereta melalui Internet.

Sebagai insentif khas, pelanggan yang menggunakan platform e-dagang Shopee boleh menempah hanya dengan deposit RM99 berbanding bayaran RM1,000 seperti biasa dan 50 pelanggan pertama yang berjaya mendaftarkan Proton X70 sebelum hujung tahun akan menerima baucar Shopee bernilai RM2,000, kata Shopee dalam satu kenyataan

Mereka juga akan menikmati promosi lain yang sedang dijalankan Proton dalam bulan berkenaan.

“Memandangkan wujud perubahan dalam corak pembelian pengguna, Proton telah mengambil langkah bagi memastikan ia terus menyesuaikan diri supaya tetap relevan. Pasaran runcit, sebagai contoh, telah berubah dalam beberapa tahun yang singkat selepas pelanggan memilih untuk membeli barangan secara dalam talian berbanding lawatan ke atas kedai fizikal.

“Kerjasama dengan Shopee merupakan antara langkah yang diambil Proton sebagai penerokaan jalan baharu untuk berhubung dengan pelanggannya,” kata Proton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, Proton perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini untuk terus relevan dan pada masa yang sama, meneruskan strategi dengan meningkatkan titik sentuhan pelanggan melalui pertumbuhan cawangan 3S/4S, syarikat itu juga perlu menggunakan teknologi bagi memacu mobiliti untuk perniagaannya.

“Kempen kami dengan Shopee adalah contoh yang baik kerana ia menawarkan kemudahan dan kesenangan kepada pengguna, pada masa yang sama, ia juga menghubungkan mereka dengan rangkaian kami untuk perkhidmatan selepas jualan,” katanya.- BERNAMA