
KUALA LUMPUR – Tuntutan DAP yang berulang kali mendesak supaya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) kembali diadakan jelas menunjukkan kedegilan parti itu yang enggan akur dengan hakikat dan keterangan pernah dibahaskan.
Malah, DAP tidak pernah berlunak sebaliknya semakin mengeraskan sikap angkuh di tahap melampau apabila turut menuntut milikan tanah 999 tahun di Perak, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin.
“Walhal, tuntutan-tuntutan tersebut telah sedia dimaklumi, adalah bertentangan Perlembagaan Persekutuan, sekaligus menunjukkan DAP sentiasa memilih jalan mencabar, menggugat dan kurang ajar.
“Malah, ia juga menunjukkan DAP hanya mementingkan diri dan tetap berkeras mengusung agendanya biarpun rakan-rakan PH (Pakatan Harapan) menyuarakan penolakan terbuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khiril Nizam berkata, ianya lantaran sikap DAP yang sentiasa mahu menguasai secara mencengkam, bahkan tidak percaya kepada rakan sepakatan sendiri.
“Ini sebagaimana tindakan mengumumkan lantikan pemimpinnya, Liew Chin Tong bagi mewakili DAP kepada masyarakat Cina sekiranya PH yang meletakkan calon Bersatu menang dalam PRK P.165 Tanjung Piai baru-baru ini.
“Namun, PRK tersebut jelas menunjukkan penolakan majoriti penduduk termasuk kaum Cina terhadap PH yang tempiasnya juga memberi isyarat khusus bernada ‘amaran’ kepada DAP,” katanya lagi.
Bagaimanapun tambah beliau, DAP tidak pernah belajar untuk mengharmonikan tindakannya dengan realiti rakyat dan negara dan disebabkan itu Pemuda PAS sanggup menjadi benteng rakyat terhadap DAP.
Khairil Nizam mendakwa, Pilihan Raya PBT adalah sandaran DAP untuk ‘menawan, menakluk dan menjajah’ kedudukan penting dan strategik bandar-bandar di seluruh negara secara sistematik.
Jelasnya, posisi tersebut adalah dengan memiliki segala aset ekonomi, kewangan dan pentadbiran, serta pengaruhnya kepada pelbagai cabang serta DAP akan bermaharajalela melaksanakan tindakan yang menguntungkannya.
“Ketika itu, kuasa perundangan akan digubal selaras kehendaknya, selain mempengaruhi pindaan kepada perundangan dasar yang lain.
“Inilah nafsu serakah seiring roh Komunisme yang tidak muncul secara kebetulan dalam negara mutakhir ini. DAP adalah dalang paling disyaki atau dibalik tabir semua malapetaka yang muncul pasca PRU14,” ujarnya.
Tambah beliau, DAP dalam diam-diam sebenarnya sudahpun menerajui banyak kepentingan bukan sahaja di jawatan tertinggi negara, malah juga rangkaian Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Oleh itu negara ini harus gusar, kerana tindakan dibuat DAP adalah langkah ke arah ‘memperhambakan’ rakyat.
“DAP hanya sedia memiliki rakan kongsi dengan mereka yang sanggup tunduk patuh pada segala agendanya, itupun secara ‘diperalatkan’. Maka, membenarkan tuntutan DAP bererti membuka jalan menghancurkan kedaulatan bumi tercinta Malaysia ini,” katanya. – MalaysiaGazette