Home Sukan Kami gembira persatuan sudah lunaskan perbelanjaan Sukan SEA Filipina

Kami gembira persatuan sudah lunaskan perbelanjaan Sukan SEA Filipina

Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria

KUALA LUMPUR – Semua persatuan sukan telah melunaskan seratus peratus perbelanjaan atlet Sukan SEA ke-30 di Filipina, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berpuas hati dengan tindakan kesemua persatuan sukan yang menyelesaikan pembayaran mereka berkenaan temasya dwitahunan itu seperti tiket penerbangan, penginapan dan lain-lain lagi.

“Secara keseluruhan, kita melihat semua persatuan sukan telah membayar apa yang perlu dan kita gembira dengan perkara berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga OCM kali ke-17 bagi sesi 2018-2021 di Wisma OCM, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata mesyuarat lembaga eksekutif selama dua jam itu hanya membincangkan agenda jawatankuasa, dan perkara berbangkit yang memerlukan keputusan ahli lembaga eksekutif termasuk isu melibatkan Sukan SEA Filipina.

Ditanya mengenai status atlet catur dan e-sukan dibawah kategori B yang berjaya meraih pingat emas pada sukan dwitahunan itu, Mohamad Norza menyifatkan perkara itu akan dilihat secara kolektif dalam mesyuarat bersama semua persatuan sukan di bawah gabungan MOM yang bakal hadir.

“Kita ada banyak perkara yang dibincangkan tadi, terutamanya prestasi dari segi mereka yang di bawah kategori B dan juga kategori B2 yang telah berjaya. Namun perkara ini akan dibincangkan secara kolektif dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kita akan melihat cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Untuk rekod, Kategori B memerlukan persatuan sukan kebangsaan membayar sendiri pembiayaan atlet terbabit dan hanya akan dibayar semula oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) jika mereka memenangi pingat. – MalaysiaGazette