KITA harus jujur bahawa Parti Keadilan Rakyat sedang mengalami fasa fasa yang sangat mencabar saat ini. Fasa yang barangkali tidak pernah difikirkan oleh ahli mahupun pucuk pimpinan parti pada saat penubuhannya sewaktu 1999 yang lalu.
Fasa ini merupakan fasa yang sangat mendesak buat Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Wan Azizah, Saifuddin Nasution dan ramai lagi. Fasa yang memerlukan suara kedamaian bersahutan, suara penyatuan yang dilaungkan dan suara kebersamaan yang dipupuk sesama ahli parti.
Konflik dalaman yang sangat kompleks ini menggambarkan bahawa PKR sedang menuju ke suatu kondisi yang kita sendiri tidak boleh jangkakan.
Peperangan yang tragis antara Kem Anwar dan Kem Azmin jelas membuktikan bahawa ada suatu hal yang sangsi untuk difikirkan. Kondisi ini yang menerbitkan pelbagai soalan dan tanda tanya terutamanya media yang kian panas sejak akhir-akhir ini.
Kegagalan mengurus konflik ini, ia pasti merosakkan imej parti.
Apakah semua ini memang benar-benar berlaku? Atau hanya permainan politikus-politikus yang dahagakan kuasa semata? Hanya mereka sahaja yang tahu.
Kita harus jujur bahawa kekuatan dan kesatuan parti ini sedang diuji dalam setiap sudut dan aspek. Pasca Kongres Keadilan Nasional di MITC, Melaka tempoh hari, keberantakan parti
ini kelihatan kian terserlah dalam segenap sudut.
Sepatutnya kongres seumpama ini berbicara mengenai isu kemiskinan dikalangan rakyat, isu pembelaan kaum dalam pelbagai perspektif, isu pendidikan percuma dan perangi rasuah
secara total.
Sepatutnya kongres seumpama ini lebih mengutakan parti dan ahlinya dalam memfokuskan kepada keutamaan membela nasib rakyat terpinggir, memperkukuhkan naratif media dalam menghadapi naratif kaum yang dibawa oleh UMNO dan Pas serta aspirasi agenda reformasi institusi dalam setiap peringkat.
Rakyat yang pernah meletakkan kepercayaan kepada kita ternyata bosan dengan kenyataan-kenyataan yang merujuk kepada percaturan politik dalaman.
Yang penting dan mendesak buat masa ini adalah kepentingan dan kebajikan rakyat, itu yang perlu diberi perhatian oleh
PKR. Di samping politik dalaman mereka, PKR perlu letak keutamaan mengekalkan kestabilan parti dan menjaga maslahat rakyat keseluruhan.
Namun saya percaya bahawa pertemuan dan perbincangan secara teliti yang dilakukan oleh Anwar dan Azmin haruslah diusahakan secara tuntas dan merakyat. Kunci kedamaian ini
terletak kepada dua sosok yang penuh berpengaruh itu.
Cuma nasihat ini juga harus didengar oleh sekalian ahli parti, usahlah mengamalkan budaya fanatisme di dalam parti.
Sematkan diri dengan agenda reformasi yang dilaungkan tiap kali
perjumpaan parti. Belajar untuk menghormati pandangan dan perbezaan pandangan dengan cara yang terhormat.
Bukan dengan melakukan protes. Jikalau tidak benar, lawanlah dengan hujah. Tegakkan nilai dan aspirasi semak imbang yang baik dalam perjuangan.
Seni politik ini lain, hari ini barangkali berkawan, esok boleh jadi berlawan. Hari ini bermusuh, esok boleh jadi kawan. Begitulah lumrah politik.
Luthfi Yusri
Yang Dipertua Persatuan Belia HARMONI UM.