KUALA LUMPUR – Para pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) danĀ bekas pelajar kem tentera dinasihati supaya bersediap sedia menghadapi cabaran dunia siber.
Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata demikian apabila ditanya mengenai saranannya kepada pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja (MTD) dalam memainkan peranan memperkasa bidang ketenteraan.
Menurut beliau, pelajar MTD perlu bersiap sedia untuk memenuhi keperluan negara dalam menghadapi cabaran secara bersama dalam dunia realiti sekarang.
Katanya, ia penting dalam situasi dunia semasa dan keperluan negara yang mempersiapkan diri untuk menjadi kuasa tengah yang berpengaruh dan berpandangan luas.
“Dalam Kertas Putih Pertahanan juga telah digariskan masa depan pertahanan yang mengutamakan hala tuju sebagai angkatan tentera berstatus premier dan diiktiraf dunia selain berstatus negara maritim dan penting di rantau Asia.
“Sebab itu, saya dalam ucapan juga menekankan dua aspek iaitu mementingkan semangat dalam perspektif utama iaitu konsep bangsa Malaysia yang mana tanpa mengira latar belakang dengan semangat Maktab bersama hadapi apa jua cabarang mendatang,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Turut hadir pada majlis yang sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Komandan MTD, Brigadier Jeneral Abdul Halim Abu Hassan dan para ibu bapa kepada seramai 156 pelajar yang telah menamatkan pengajian selama dua tahun di institusi tentera tunggal negara ini.
Chin Tong dalam ucapannya menyifatkan tradisi perbarisan pelajar MTD unik dan setiap generasi menghadapi cabaran berbeza mengikut peredaran zaman.
“Perang dingin, ancaman komunis dan sebagainya yang telah berlalu namun membuka ruang ke arah menghadapi bakal cabaran bukan dalam negara sahaja tetapi juga dunia luar.
“Kita bergantung satu sama lain dan perlu menggembleng tenaga untuk Malaysia berjaya di pentas dunia menjadikan semangat nasionalisme berkesedaran sivik perlu dijadikan teras pemahaman kita semua.
“MTD juga penting mewujudkan bangsa Malaysia yang inklusif, persahabatan akrab dan pengalaman bersama dan ada juga kemungkinan putera-putera hari ini akan mengikut jejak langkah beberapa pegawai Kanan tertinggi yang berjaya dalam ATM,” ujarnya.
Justeru tegasnya, setiap pelajar lepasan MTD perlu sentiasa dinamik dan berkemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dunia berpandangan jauh dalam dunia politik.
Katanya kehidupan semua sebagai manusia boleh berubah dan masih ada ruang untuk memperbaiki diri demi kemajuan.-MalaysiaGazette